Malam Penyampaian Hadiah eSastera.com 2003

 

                                                                                              UNTUK MELIHAT GAMBAR-GAMBAR PILIHAN, sila klik DI SINI
LAGI GAMBAR-GAMBAR PILIHAN. Sila klik DI SINI

 

Malam penyampaian Hadiah e-sastera.com 2003 (HeS.com 2003) telah diadakan di Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya pada 30 Ogos 2003.  Majlis itu berbentuk makan malam, persembahan baca puisi, persembahan deklagukon (deklamasi-lagu-lakon), dan penyampaian hadiah.  Majlis bermula pada jam 9.00 malam dengan dihoskan oleh dua orang gadis remaja, Wan Nur-Ilyani (Kablam22) dan Wan Muna Amirah (Innocent One).

 

Malam HeS.com dirasmikan oleh penulis mapan merangkap Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Majlis dimeriahkan dengan kehadiran jemputan daripada kalangan penyair mapan, iaitu T. Alias Taib, A. Rahim Abdullah, Dinsman, dan Shukri Abdullah.  Turut hadir ialah penyair terkenal merangkap Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr. Hashim Yaacob. Seramai lebih kurang 80 orang ahli esastera.com dan para jemputan telah hadir.

 


Dato’ Dr. Anwar Ridhwan
merasmikan majlis

 

Tujuan majlis itu diadakan adalah untuk menyampaikan hadiah kepada penulis-penulis pilihan berdasarkan mutu karya mereka yang diterbitkan di majalah elektronik e-sastera (www.esastera.com) sepanjang tahun 2002. Majlis dianjurkan oleh syarikat Kapas Enterprise serta dilaksanakan oleh aktivis-aktivis esastera.com dari Komuniti “Penyair” Alam Siber dengan bantuan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM).

 

Majlis HeS.com ini dipercayai sebagai aktiviti yang pertama kali diadakan di Malaysia untuk mengiktiraf karya yang diterbitkan di internet.  Majlis ini juga unik kerana hadiah ditawarkan dan diuruskan oleh individu dan bukan oleh mana-mana agensi.

 

  Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil penerbit majalah e-sastera, iaitu Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (penyair Irwan Abu Bakar). Antara kandungan ucapannya, beliau telah menegaskan keyakinannya kepada kemungkinan-kemungkinan yang ditawarkan oleh internet dalam memperkembangkan dan memajukan sastera berbahasa Melayu.  Beliau juga menekankan pendirian esastera.com bahawa medium internet bukanlah saingan sebaliknya pelengkap kepada penerbitan tradisional. Dengan sebab itulah pihak esastera.com juga menerbitkan karya yang terpilih dalam bentuk cetakan keras.  Namun beliau menegaskan bahawa dunia sastera kita akan ketinggalan jauh jika tidak dimajukan melalui medium internet yang canggih dan moden itu.  Beliau juga menegaskan peri pentingnya internet dalam memajukan karya dan mengubah cara karya diapresiasi.  Misalnya, kebanyakan puisi di esastera.com berbentuk multimedia. Di samping teks biasa, karya-karya itu mengandungi animasi dan muzik pengiring. Malah, kata Irwan lagi, pembaca boleh mendengar penyair mendeklamsikan sajak-sajaknya melalui majalah ini. Dari aspek ini, kejayaan esastera.com setakat ini belum berjaya dicapai oleh mana-mana penerbitan siber lain di Malaysia.

 

Ucapan Irwan diikuti oleh ucapan perasmian oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  Dalam ucapannya, Dato’ Dr. Anwar mengucapkan tahniah kepada esastera.com atas kejayaan penerbitannya dan atas kejayaan mengadakan majlis penyampaian hadiah pada malam itu.  Beliau juga menegaskan sokongannya terhadap usaha mengembangkan sastera Melayu ke seluruh dunia melalui internet yang dilakukan dengan giatnya oleh Irwan dan rakan-rakannya dalam esastera.com. Tambahnya lagi, "esastera.com – hayatnya mesti dilanjutkan, wujudnya mesti diperkasa. Tahap seterusnya ialah untuk melihat esastera.com sebagai wadah yang penting dalam arus perdana sastera tanahair."

 

Majlis makan malam bermula sebaik-baik sahaja Dato’ Dr. Anwar memukul gong tanda perasmian majlis telah terlaksana. Selepas kira-kira 10 minit majlis makan bermula, acara persembahan pertama telah dihidangkan di pentas. Lapan orang penyair dari esastera.com telah dijemput untuk mendeklamasi sajak mereka secara berterusan, seorang demi seorang. Mereka ialah Mohd Dahri Zakaria (Dahrie), Anual Bakhri Haron (Anbakri), Sharifah Mariani M. Othman (Aalieffa) dari Brunei Darussalam, Nik Mohd Iznan Tuan Yaacob (Nimoiz T.Y), Raja Rajeswari, Erwin Khairul bin Ahmad, Hasimah Harun, dan Ramlee Wahab (Nakhoda). Persembahan mereka mantap dan menarik. Penonton semuanya terpikat dan terhibur.

 

Acara penyampaian hadiah bermula dengan penyampaian salah satu daripada dua hadiah sampingan.  Hadiah itu dinamai hadiah “tak sangka” dan merupakan hadiah-hadiah yang ditawarkan oleh esastera.com di sepanjang tahun 2002 hingga Ogos 2003 tanpa mengumumkannya kepada ahli-ahli terlebih dahulu. Tujuh kategori hadiah “tak sangka” telah diberikan kepada sembilan orang pemenang, dengan setiap seorang menerima wang tunai RM50.00. Kategori hadiah itu ialah Penyumbang Sajak Terbanyak bagi tahun 2002, Sajak Terakhir yang disiarkan di esastera.com pada tahun 2002, Sajak Ke-1000 yang disiarkan di esastera.com pada tahun 2003, Deklamator Terbaik bagi pertemuan pertama dan kedua Komuniti “Penyair”, Deklamator Popular bagi pertemuan pertama Komuniti “Penyair”, dan tiga hadiah Pengulas Prolifik. Penyampaian dilakukan oleh Dr. Irwan Abu Bakar.

 


Persembahan

 

Selepas majlis penyampaian hadiah “tak sangka” itu,  majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah sampingan yang kedua, iaitu hadiah bagi lima sayembara menulis puisi “pada talian” yang telah dianjurkan oleh esastera.com di sepanjang tahun 2002 hingga Ogos 2003. Lima sayembara itu ialah Sayembara Puisi Perang, Puisi Hari Bapa, Puisi Hari Keluarga, Puisi Maulidur Rasul, dan Puisi Hari Guru. Tiga orang pemenang telah dipilih untuk setiap sayembara.  Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM100.00.

 

Majlis diteruskan dengan acara persembahan kedua yang melibatkan baca puisi oleh penyair-penyair jemputan khas.  Acara ini telah dimulai dengan pembacaan puisi oleh alumni senior Kolej Kediaman Kedua Universiti Malaya, En. Salleh Bakar, diikuti penyair dari Rusia, Dr. Victor Pogadaev, penyair Shukri Abdulah, Irwan Abu Bakar sendiri, dan akhirnya Dato’ Prof. Dr. Hashim Yaacob.

 

 

Acara ini disusuli acara cabutan bertuah. Lima orang hadirin dari kalangan ahli esastera.com telah menerima hadiah cabutan bertuah berupa senaskhah antologi Semerlar karya Irwan Abu Bakar.

 

Dua hadiah utama yang disampaikan pada malam itu ialah Anugerah Penyair Alam Siber 2003 (Apas 2003) dan Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2003 (Asjas 2003).  Para tetamu telah dihadiahkan dengan senaskhah antologi Apas yang mengandungi sajak-sajak yang dipilih ke peringkat akhir Apas 2003.  Sajak jenaka (sajen) yang memasuki peringkat akhir telah juga dibukukan dalam antologi berjudul Sajen.  Kedua-dua antologi itu diterbitkan oleh syarikat Kapas Publication dan dapat diperoleh dengan menghubungi emel kapas@esastera.com.

 

Hadiah Asjas 2003 telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan setelah selesai pembacaan puisi oleh penyair-penyair jemputan dan cabutan bertuah. Seramai tiga orang penyair telah memenangi hadiah utama Asjas 2003 dan 8 orang memenangi hadiah sagu hati.

 

Hadiah utama Asjas 2003 dimenangi oleh penyair muda Ida Munira Abu Bakar (atau Leocute).  Pelajar UiTM Shah Alam ini memenangi hadiah berupa wang tunai RM1000, cenderamata, dan sijil. Karyanya yang telah membawa tuah kepadanya ialah sajak jenaka (sajen) berjudul “Presiden George Bush Kena ‘Bush’!”

 

Selesai penyampaian hadiah Asjas 2003, para hadirin telah dihidangkan dengan persembahan deklagukon (deklamasi-lagu-lakon) oleh penggiat-penggiat esastera.com.  Persembahan itu telah diarahkan oleh sdr Md. Zainuddin Abdul Rahman.  Persembahan melibatkan dialog dan baca/nyanyi puisi yang melakarkan semangat perjuangan kemerdekaan sempena malam itu yang merupakan malam menyambut kemerdekaan negara yang ke-46.

 

Semua pengadilan untuk HeS.com telah dilakukan oleh penyair mapan, T. Alias Taib. Selesai persembahan deklagukon, T. Alias telah diminta menyampaikan ucapan pengadilannya. T. Alias telah menyatakan sokongannya terhadap usaha esastera.com.  Beliau berpendapat bahawa karya yang baik tetap baik tanpa mengira medium yang digunakan untuk meyalurkannya kepada khalayak.  Beliau mencadangkan agar antologi Apas dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai penerbitan pertama di Malaysia yang memuatkan karya kreatif daripada alam siber sepenuhnya.

 

Ucapan T. Alias diikuti acara kemuncak pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah Apas 2003.

 

Seramai tiga orang penyair telah memenangi hadiah utama Apas 2003 dan 10 orang memenangi hadiah sagu hati.  Hadiah telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sekali lagi.

 

Hadiah utama Apas 2003 yang membawa gelaran “Penyair Alam Siber 2003” telah disandang oleh penulis muda Nik Mohd Iznan Tuan Yaacob (atau Nimoiz T.Y).  Melalui sajaknya “Jalan Baru”, beliau menggondol hadiah wang tunai RM2003.00, sebuah cenderamata, dan sijil. Pelajar kursus tahun akhir diploma kejuruteraan awam dari KUiTTHO ini berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

 

Majlis tamat pada kira-kira jam 11.15 malam selepas Dr. Irwan menyampaikan cendermata kepada perasmi, pengadil, dan penyair-penyair jemputan.  Peserta mengambil kesempatan untuk bergambar ramai. Kemudiannya masing-masing pulang dengan penuh kenangan manis kerana dapat menjayakan majlis penganugerahan yang unik dan pertama kali diadakan di negara ini.

 

Senarai lengkap hadiah serta nama pemenang yang berpadanan adalah seperti dalam Lampiran kepada tulisan ini.

 


 

Lampiran

 

 

KEPUTUSAN HADIAH eSASTERA.COM 2003
(Penaja Utama 
: Talam Corporation)

 

Di sini disenaraikan nama-mana pemenang empat hadiah* yang disampaikan di malam Hes.com 2003:

 

1.         Anugerah Penyair Alam Siber 2003 (Apas 2003)

 

Penyandang Gelaran "Penyair Alam Siber 2003"
Hadiah Wang Tunai RM2003.00, Sijil, dan Cenderamata*

Nimoiz T.Y (Sajak "Jalan Baru")

 

Tempat Kedua
Hadiah Wang Tunai RM300.00, Sijil dan Cenderamata*

Nilamsuri (Sajak "Kembara Diri")

 

Tempat Ketiga
Hadiah Wang Tunai RM200.00, Sijil dan Cenderamata*

Razali Endun (Sajak "Kampungku")

 

10 Hadiah Sagu Hati
Hadiah Wang Tunai RM50.00, Sijil dan Cenderamata setiap satu*

1. A. Marzah ("Jalan Aku Retak")
2. Anbakri ("Maafkan Aku")
3. Anjan Ahzana ("Bila Tiang Seri Patah")
4. Arisel ba ("Aku Dalam Sajak 12")
5. Erwin Khairul Ahmad ("Anak-anak Kampung Air")
6. Md Zainuddin Abd Rahman ("Sandiwara")
7. Nakhoda ("Melayu")
8. Raja Rajeswari ("Wau")
9. Salman Sulaiman ("Lagu Puisi Anak Merdeka")
10. Wan Azman Wan Mamat ("Anak Muda")


2.         Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2003 (Asjas 2003)

 

Pemenang Anugerah "Sajak Jenaka Alam Siber 2003"
Hadiah Wang Tunai RM1000.00, Sijil, dan Cenderamata*

Ida Munira Abu Bakar @ Leocute (Sajak "Presiden George Bush Kena 'Bush'!")

 

Tempat Kedua
Hadiah Wang Tunai RM300.00, Sijil, dan Cenderamata*

Ramle Wahab @ Nakhoda (Sajak "Dilema Orang Profesional")

 

Tempat Ketiga
Hadiah Wang Tunai RM200.00, Sijil, dan Cenderamata*

Anjan Ahzana (Sajak "Harga Dara")

 

8 Hadiah Sagu Hati
Hadiah Wang Tunai RM50.00, Sijil, dan Cenderamata setiap satu*

1. Ana_suraya ("Ada")
2. Anbakri ("Mengantuk Di Kuali")
3. Arisel ba ("Gulai tempoyak Ikan Patin")
4. Hata Ghazali @ Gravesdigger ("Ekor Kita Berbeza")
5. Jimadie Shah ("Api")
6. Lutfi Ishak ("Aduhai Dua Kali Lima")
7. Nimoiz T.Y ("Tujuh Rangkap Sajen Cinta")
8. Salman Sulaiman ("Kawe Oghe Kelate")

 

3.         Sayembara "Pada Talian" 2002/03
Hadiah Wang Tunai RM100.00, Sijil dan Cenderamata

 

Di sepanjang tahun 2002 sehingga Ogos 2003, esastera.com telah mengadakan lima sayembara khas untnuk sambutan tertentu. Pemenang-pemenangnya adalah seperti yang berikut:

 

(a) Sayembara Menulis Puisi Perang

1. Anjan Ahzana ("Doa Ibu Untuk Anaknya Di Baghdad")
2. Moyank ("Yang Membanjiri Air Mata, Darah, dan Kehilangan Jiwa")
3. Nimoiz T.Y ("Semut Kecil")

 

(b) Sayembara Menulis Puisi Hari Bapa

1. Nakhoda ("Ayahanda")
2. Nilamsuri ("Bapa")
3. Zarez al-Husaini ("Bila Ayahku Berpesan")

 

(c) Sayembara Menulis Puisi Hari Keluarga

1. Abdul Latip ("Keluarga Muhammad")
2. Anjan Ahzana ("Memasuki Subuh, Seakan Wajah Bonda Menangis")
3. Zarez al-Husaini ("Di Pondok Usang Itu Ayah Berdiri")

 

(d) Sayembara Menulis Puisi Hari Guru

1. Mohd Dahri Zakaria ("Nostalgia Ilmu")
2. Nakhoda ("Gurindam Orang Berilmu")
3. Zainal Lasim ("Terima Kasih Yang Tidak Terhingga")

 

(e) Sayembara Menulis Puisi Maulidur Rasul

1. Arisel Ba ("Aku Dalam Sajak 17")
2. Ghazali Lateh ("Dengan Nurmu Ya Rasullullah")
3. Nilamsuri ("Al-Amin")

 

4.         Hadiah "Tak Sangka" (Surprises)

 

Di sepanjang tahun 2002 sehingga Ogos 2003, esastera.com telah mengeluarkan beberapa hadiah khas yang tidak diumumkan terlebih dahulu. Pemenang-pemenang menerima hadiah wang tunai RM50.00.* Mereka adalah seperti yang berikut:

 

1. Md Zainuddin Abd Rahman (menyiarkan paling banyak sajak di sepanjang tahun 2002)

2. Ramlee Wahab @ Nakhoda (menyiarkan sajak terakhir pada tahun 2002)

3. Al_maghfirah (menyiarkan sajak ke-1000 bagi tahun 2003)

4. Mohd Dahri Zakaria (deklamator terbaik pertemuan pertama Komuniti "Penyair")

5. Anbakri (deklamator popular pertemuan pertama Komuniti "Penyair")

6. Jimadie Shah (deklamator terbaik pertemuan kedua Komuniti "Penyair")

7. Hadiah "tak sangka" tambahan: Pengulas Prolifik (3 orang)

    (a) Abdullatip
    (b) Hasimah Harun
    (c) Nakhoda

 

---------------------------------------------

 

*Hadiah hanya diberi kepada mereka yang menghadiri majlis penyampaian hadiah pada 30.08.2003.