KURSUS KEPENYAIRAN e-sastera:
GARIS PANDUAN DAN TIPS UNTUK PENYAIR DAN PEMINAT PUISI

© Irwan Abu Bakar, 2003

Tarikh mula tulis: 5.10.2002
Tarikh siap: 9.4.2003.
Tarikh pengeditan terbaru: 26.6.2003.

PERHATIAN
Kandungan kursus ini telah diterbitkan dalam bentuk buku konvensional. Sila dapatkan daripada kAPAS Enterprise (emel: kapas@esastera.com)

Terus Ke Senarai Kandungan
Terus Ke Indeks
Terus Ke Lampiran

A: Preliminari

Objektif Kursus:
Untuk memberi penerangan dan petunjuk ringkas tentang hal-hal tertentu berkaitan puisi.

Apabila tamat mengikuti kursus ini, anda akan memahami perkara-perkara yang berikut:
1. asas-asas penting puisi tradisional
2. sejarah terawal penulisan sajak.
3. asas-asas sajak yang baik dan yang lemah.
4. konsep-konsep bahasa, teknik dan tema yang berkaitan dengan penulisan sajak.

Peserta Sasaran:
Kursus ini diolah supaya sesuai untuk:
1. Orang awam yang berminat menulis dan menghayati puisi.
2. Pelajar kolej dan universiti.
3. Pelajar sekolah menengah, Tingkatan 3 ke atas.

Sijil Kepenyairan k-APAS:
Setelah tamat mengerjakan semua modul dalam kursus ini, peserta boleh mengambil peperiksaan yang akan diadakan dari semasa ke semasa. Peserta yang lulus peperiksaan itu akan dianugerahkan Sijil Kepenyairan k-APAS. Peperiksaan pertama dijangka akan diadakan pada Disember 2002. (Butir-butir akan diumumkan kelak).

Franchise Kursus:
Hak franchise kursus ini boleh diperoleh dengan menghubungi: k_apas@hotmail.com.

Rujukan:
Kandungan dalam tulisan ini dibuat dengan menggunakan rujukan-rujukan yang berikut:-

Rujukan Utama
1. Rahman Shaari. "Persediaan Menulis Sajak", Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
2. Muhammad Haji Salleh. "Pengalaman Puisi", Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.

Rujukan Tambahan
1. Rahman Shaari. "Lukisan Zaman", Marwillis Publisher and Distributor, 1991.
2. Rahman Shaari. "Penilian dan Penghayataan Sastera", Marwillis Publisher, 1987.
3. Pyan Husayn dan Suhaimi Haji Muhammad (Penyelenggara). "Orang Bertiga", Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

Rujukan Untuk Lampiran 4:
Amran Ahmad. "STPM: Menghadapi Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 Aneka Pilihan", Fajar Bakti, 1993.

Rujukan Untuk Lampiran 6:
Hakim Iskandar dan Zairiah Mansor. "Tatabahasa Bahasa Melayu KBSM", SNP Eastview Publication, 2002.

Deklarasi Penulis:
(a) Sebarang silap faham, silap baca, dan silap tulis oleh penulis adalah tanggungjawab penulis sendiri dan tidak boleh sama sekali dipertanggungjawabkan kepada penulis buku-buku rujukan yang tersebut.
(b) Sebarang perkara yang ditulis di sini tetapi tidak terdapat dalam bahan-bahan rujukan adalah juga tanggungjawab penulis sepenuhnya.

 


B: Indeks
(Indeks ini merujuk kepada nombor modul, submodul, atau subsubmodul bagi artikel ini. Anda boleh "melompat" ke bahagian yang berkenaan dengan mengklik hiperlink yang disediakan.)
abstrak: 6(d); agama Islam: Modul 25; aliran: 6(a); aliterasi: 11(2)(1); alusi: 11(3)(1); ambiguiti: 10(2)(1); anafora: 11(2)(2); antagonis: 13(3); anugerah: 24; APAS: 24(2)(3); asonansi: (11)(2)(1); ayat: 11(2)(5); Lampiran 6; bahasa: Modul 10; bait: 9(1)(4); balada: 13(2)(4); baris: Lampiran 1; bebas: 3(3); belati: 14(1)(1); bentuk: 6(b); Modul 9; bentuk dalaman: 9(2); bentuk luaran: 9(1); bertiga (orang): 16(2); bombastik: 8(2)(4); budaya bahasa: 12(4); Lampiran 4; corak puisi: 13(2); cyber cafe: 19(2)(3); definisi puisi: Modul 1; deklamasi: Modul 23; denotatif: 10(2)(3)(1); diksi: 11(1); distikhon: Lampiran 1; edit: 18(1); elegi: 13(2)(1); enjambemen: 12(1); epifora: 11(2)(2); epigram: 13(2)(2); gaya: 8(1)(2); 15(2); gaya bahasa: Modul 11; gurindam: 4(4); Hadiah Sastera Perdana (HSPM): 24(2)(1); hafaz: 23(3); hibrid: 11(1)(2); hiperbola: 11(1)(1); imajan: 11(4)(1); imbuhan bidah: 8(2)(5)(1); imej: 11(4)(1); imej bercampur: 8(2)(1); intelektual: Modul 17; Internet: Modul 19; inversi: 11(1)(3); irama: 10(1); 11(2)(4); ironi: 11(1)(4); isi: 8(1)(1); Islam: Modul 25; jampi: 4(6); jenaka: 13(2)(6); jenis sajak: Modul 6; kabur: 16(1); keindahan: 15; 15(2); kelemahan umum: 14(2); kesalahan umum: 14(1); kesimpulan: 9(2)(1); ketepatan makna: 10(2)(3); khutbah: 12(4)(1); kiasan: 11(3); klise: 8(2)(2); komputer: Modul 18; komuniti: 24(2)(3); konkretisasi: 6(1); 8(1)(1); konkrit: 6(d); konotatif: 10(2)(3)(2); kritikan: Modul 26; kuatren: Lampiran 1; lagu puisi: 23(4); lambang: 11(4)(2); lesen puitis: Modul 27; lewah: 14(2)(1); licentia poetica: Modul 27; lisan: 23(1); makna: 10(2); makna tersembunyi: 10(2)(2); mantera: 4(6); melankolik: 7(1); 8(2)(3); melodi: 23(4); metafora: 11(3)(2); muzik: 23(3); nada: Modul 7; ode: 13(2)(3); oktaf: Lampiran 1; padat: 14(2)(1); pantun: 4(2); paradoks: 11(1)(5); paralelisme: 12(3); parodi: 11(1)(5)(1); patriotik: 7(2); pejabat: 19(2)(2); pengucapan bersahaja: 8(2)(6); 12(1); pengaruh: 21(2); pengulangan: 11(2); penyair: Lampiran 2; Penyair: 24(2)(3); perbandingan: 11(3); peribadi: 8(1)(1)(1); personifikasi: 11(4)(3); plagiarisme: Modul 21; plagiat: 21(1); polos: 6(c); primitif: 20(2); prismatis: 6(1); prosaik: 8(2)(6); protagonis: 13(3); protes: 7(3); puisi moden: 3(2); puisi siber: 20(1); puisi tradisional: 3(1); puitis: 1(2); Pulitzer: 24(1); quintain: Lampiran 1; rangkap: 9(1)(4); rapih: 14(2)(1); redundancy: 14(2)(1); retorik: 12(5); L4(4); rima: 11(2)(3); romantik: 7(4); sajak kabur: Modul 16; sajak simbolik: 11(4)(2); sajak terawal: Modul 5; satira: 11(2)(3); seloka: 4(5); septet: Lampiran 1; sextet: Lampiran 1; siber: 19(2)(3); 20(1); silat: 23(6); simile: 11(3)(3); sinis: 7(5); soalan retorik: 12(5); soneta: Lampiran 1; struktur: Modul 9; struktur dalaman pantun:4(2)(6); syair: 4(3); taksa: 6(c); 10(2)(1); teater: 23(6); tema: Modul 13; teknik: Modul 12; terjemahan: Modul 22; terzina: Lampiran 1; ulas: Modul 26; warung siber: 19(2)(3); watak: 13(3); wayang kulit: 23(6);

 


 


C: Kandungan
(Anda boleh "melompat" dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain dengan mengklik hiperlink yang disediakan. Namun, bagi pembacaan pertama, anda digalakkan membacanya mengikut urutan):

Modul 1. Definisi Puisi
Modul 2. Aspek Utama Puisi
Modul 3. Sajak dan Puisi Tradisional
Modul 4. Puisi Tradisional: Suatu Kursus Ringkas (pantun; syair, gurindam; seloka; jampi mantera)
Modul 5. Sajak Terawal
Modul 6. Jenis Sajak
Modul 7. Nada
Modul 8. Ciri Sajak Yang Bermutu/Lemah
Modul 9. Bentuk (atau Struktur) Sajak
Modul 10. Bahasa (Irama, Makna, dan Klise)
Modul 11. Gaya Bahasa
Modul 12. Teknik
Modul 13. Tema
Modul 14. Kesalahan Umum dan Kelemahan Umum
Modul 15. Keindahan Puisi
Modul 16. Sajak Kabur
Modul 17. Sajak Intelektual
Modul 18. Puisi dan Komputer
Modul 19. Puisi dan Internet
Modul 20. Puisi Siber
Modul 21. Plagiarisme dan Pengaruh
Modul 22. Penterjemahan Puisi
Modul 23. Deklamasi Puisi
Modul 24. Anugerah
Modul 25. Puisi dan Agama Islam
Modul 26. Kegiatan Kritikan dan Pengulasan
Modul 27. Licentia Poetica
Lampiran
Lampiran 1. Nama Bentuk Puisi Dari Segi Bilangan Baris
Lampiran 2. Penyair Bahasa Melayu
Lampiran 3. Beberapa Buah Sajak Pilihan
Omar Mustaffa: Angan-angan Dengan Gurindam
Punggok: Di Tengah Senggara
Noor S.I. Sayup
M. Ghazali: Embun
Muhammad Haji Salleh: Kefanaan
T. Alias Taib Pengemis
Rahman Shaari: Kebebasan
Lampiran 4. Budaya Bahasa: Suatu Kursus Ringkas
Lampiran 5. Menyemak Semula Tulisan Anda
Lampiran 6. Ayat: Suatu Kursus Asas

 


D: Garis Panduan dan Tips

 


1. Definisi Puisi
Antara definisi paling popular dari Barat ialah definisi oleh S.T. Coleridge. Puisi didefinisikan oleh Coleridge sebagai "Kata-kata terbaik dalam susunan terbaik": The best words in the best order.

 


1(1). Ada dua definisi utama yang telah dibuat orang di Malaysia, seperti yang berikut:

(a) Definisi Za'ba. (Za'ba menggunakan istilah "karangan berangkap" untuk puisi.):
Karangan yang digunakan untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

(b) Definisi Muhammad Hj. Salleh. (Definisi ini diasaskan kepada aspek bentuk, bahasa dan tema.):
Karya yang dicirikan oleh perkara-perkara yang berikut:
- bentuk yang kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa;
- bahasa yang lebih padat, teliti, dan kadang-kadang mendekati lagu;
- temanya diolah dari hidup harian tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa, dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya; dan
- mempunyai teknik-teknik yang tertentu.

 


 


1(2). Kata 'puitis' ialah kata sifat yang merujuk kepada sesuatu (karya) yang memiliki ciri-ciri puisi.

 


1(3). Ada pengkaji-pengkaji yang membezakan makna "sajak" dengan "puisi". Misalnya, Muhammad Haji Salleh menafsirkan "puisi" sebagai karya yang mencapai taraf yang agak tinggi di dalam penggarapan bahasa, tema, dan tekniknya manakala "sajak" ialah karya ringan dan belum sampai pada tahap hasil sastera yang tinggi.

1(3)(1). Penulis sendiri menganggap pembezaan yang sedemikian sebagai remeh dan menyusahkan khalayak. Siapa pula yang akan menentukan setiap karya yang diterbitkan itu "sudah sampai pada tahap hasil sastera yang tinggi"? Maka dalam bahan pengajaran ini, penulis akan menggunakan "sajak" dan "puisi moden" secara bersinonim.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks


 


2. Aspek Utama Puisi
Dua aspek utama yang dimiliki puisi ialah
(a) isi (atau tema), lihat Modul 13; dan
(b) bentuk (atau struktur), lihat Modul 9.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


3. Sajak Dan Puisi Tradisional
Sajak ialah puisi moden. Sajak berbeza daripada puisi tradisional.

 


3(1). Puisi Tradisional
Puisi tradisional ialah pantun, syair, gurindam, seloka, jampi dan mantera, teromba, dan lain-lain.

 


3(2). Sajak dikatakan "puisi moden". Apanya yang moden?
Sajak berbeza daripada puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, mantera, dsb. berdasarkan dua ciri, iaitu (a) bentuknya yang bebas dan (b) suasana moden yang dibayangkan melalui kata-kata yang digunakan.

 


3(3). Semestinyakah sajak berbentuk bebas dan puisi tradisional tidak?
Memang ada sajak yang mempunyai bentuk yang terikat dan sengaja ditulis mengikut pola bunyi puisi lama tetapi suasana yang dibayangkan ialah suasana moden. Ada juga puisi tradisional yang bebas bentuknya, iaitu seloka, jampi mantera, teromba, dan lain-lain tetapi kandungannya dan kata-katanya tidak mewakili idea moden, sikap moden, falsafah moden, dsb.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


4. PUISI TRADISIONAL: SUATU KURSUS RINGKAS
Ada pihak yang berpendapat bahawa, untuk menjadi penulis sajak yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai pengetahuna tentang puisi tradisional (dinamai juga puisi lama). Maka di sini diturunkan pengajaran ringkas tentang puisi tradisional.

 


4(1). Ada beberapa jenis puisi tradisional. Dua yang terpenting dan masih amat popular pada masa ini ialah pantun dan syair. Jenis-jenis lain yang masih mendapat perhatian ialah gurindam, seloka, dan jampi mantera. Dalam kursus ini, hanya lima puisi tradisional ini akan diperkatakan.

4(1)(1). Menarik juga diperhatikan bahawa kata "sepantun" dalam bahasa Melayu bermaksud seperti, macam, atau seumpama. Kata "gurindam" bermaksud umpama dalam bahasa Tamil. Kata "seloka" bermaksud umpama dalam bahasa Sanskrit.

 


4(2). Pantun
Pantun ialah satu-satunya puisi lama yang masih digunakan orang secara praktikal. Puisi ini merupakan puisi lama yang paling popular. Malah pantun masih terus dicipta orang pada hari ini. Pada zaman moden ini pun, pantun lebih popular daripada sajak.

 


4(2)(1). Di sini diturunkan contoh sebuah pantun lama yang akan dirujuk sebagai analisis nanti:

Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut pecah batang;
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut susah datang.

 


4(2)(2). Perhatikan perkara-perkara yang berikut berkaitan dengan bentuk luaran pantun:
(a) Pantun ini terdiri daripada empat baris.
(b) Hujung dua baris pertama mempunyai rima dengan hujung dua baris kedua melalui rima a-b-a-b ("dilurut" berima dengan "diturut"; "batang" berima dengan "datang"). [Kadangkala rima dibentuk juga pada dalam baris -biasanya kata yang kedua- untuk menambahkan sedap bunyi].
(c) Setiap baris terdiri daripada empat perkataan. (Dibenarkan ditambah lagi dengan satu atau dua perkataan satu suku kata).

 


4(2)(3). Perhatikan perkara yang berikut yang amat penting dan amat asas tentang satu bentuk dalaman pantun:

(a) Empat baris pantun itu terbahagi kepada dua bahagian: bahagian "pembayang" (dibentuk oleh dua baris pertama dan bahagian "maksud" yang dibentuk oleh dua baris terakhir).

(b) Isi, atau tema, pantun itu terkandung dalam bahagian "maksud" (dua baris terakhir).

(c) Pada amnya, bahagian "pambayang" (dua baris pertama) digunakan untuk membayangkan apa yang hendak disampaikan oleh dua baris terakhir. (Dalam penciptaan pantun yang kurang bermutu, bahagian pembayang hanya bertindak sebagai starters ("penghidang" atau "pembuka kata") dan digunakan untuk membina struktur dan menimbulkan rima semata-mata).

4(2)(4). Pantun yang terdiri daripada empat baris seperti yang ditunjukkan di atas adalah yang paling popular. Pantun ini dinamai "pantun empat kerat". Pantun boleh juga dibentuk daripada dua baris (pantun dua kerat), enam baris (pantun enam kerat), lapan baris (pantun lapan kerat), dsb. Namun baris-baris itu sentiasa dibahagikan kepada dua bahagian, dengan bahagian pertama membentuk bahgian pembayang dan bahagian kedua membentuk bahagian maksud. Jelasnya, pantun perlu dibentuk oleh bilangan baris yang genap.

(a) Contoh pantun dua kerat yang popular:

Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.

(b) Contoh pantun enam kerat yang popular:

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entak dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entahkan tidak,
Entah semakin bertambah sayang.

 


4(2)(5). Pantun Berkait
Pantun berkait ialah pantun empat kerat yang berhubungan antara rangkap dengan rangkap. Perhubungan bentuk luar diperoleh melalui pengulangan baris kedua rangkap untuk dijadikan sebagai baris pertama bagi rangkap selepasnya; kemudian, baris ketiga rangakp pertama dijadikan sebagai baris keempat dalam rangkap selepasnya. Rangkap-rangkap dalam pantun berkait membentuk kesatuan daripada segi isi atau temanya. Contoh:

Bunga melur cempaka biru,
Bunga rampai di dalam puan;
Hendak tidur merasa rindu,
Belum sampai padamu tuan.

Bunga rampai di dalam puan,
Ruku-ruku dari Peringit;
Belum sampai padamu tuan,
Rindu saya bukan sedikit.

 


4(2)(6). Struktur Dalaman Pantun
Struktur dalaman pantun dimanifestasikan oleh hubungan antara pembayang dengan maksud. Pada amnya, pembayang memberi gambaran akan kandungan isi yang dibawa oleh bahagian maksud.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


4(3). Syair
Di sini diturunkan dahulu tiga rangkap daripada syair lama "Syair Yatim Nestapa" sebagai rujukan untuk ulasan nanti:

SYAIR YATIM NESTAPA

Berjalanlah ia ke dalam negeri,
Ke dalam kota raja yang bahari,
Lalulah masuk ke balairung seri,
Disembahkan kepada Perdana Menteri.

Menteri pun masuk ke dalam istana,
Menghadap baginda raja yang ghana,
Ditegur baginda dengan sempurna,
Adakah dapat dukun di sana?

Baginda betitiah dengan air mata,
Adakah dapat bagai dicita,
Orang yang mengubat puteri kita,
Jikalau ada bawalah serta.

 


4(3)(1). Perhatikan perkara-perkara yang berikut berkaitan dengan bentuk luaran syair:
(a) Setiap rangkap syair terdiri daripada empat baris.
(b) Hujung keempat-empat baris setiap rangkap mempunyai rima a-a-a-a.
(c) Setiap baris terdiri daripada empat perkataan. (Dibenarkan ditambah lagi dengan satu atau dua perkataan satu suku kata). Hal ini sama seperti pantun.

 


4(3)(2). Perhatikan perkara yang berikut tentang bentuk dalaman syair:
(a) Keempat-empat baris dalam rangkap syair membentuk isi atau maksud yang hendak disampaikan. Tidak ada bahagian "pembayang" seperti dalam pantun.
(b) Sesuatu karya syair biasanya dibentuk daripada lebih daripada satu rangkap. Rangkap-rangkap itu membentuk satu kesatuan isi atau tema.
(c) Tema syair lazimnya ialah cerita atau kata-kata nasihat.
(c) Syair diucapkan dengan lagu (melodi) yang standard yang telah pun dikenali ramai. Ada hanya dua variasi melodi yang digunakan secara popular.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


4(4). Gurindam
Gurindam ialah puisi tradisional yang khusus. Di sini diturunkan dua sebuah gurindam lama:

(i) Fasal Ketujuh, Gurindam Dua Belas

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih suka,
itulah tanda hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.

(ii) ALAMAT HARI NAK SIANG

Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi tampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulang bertandang
Orang tua berkalih tidur
Embun jantan rintik-rintik
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting riang di rimba
Melenguh lembu di kandang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung merak mengigal
Fajar sidik menyingsing naik
Kicak kicau bunyi murai
Tabtibau melambung tinggi
Berkuku balam di hujung bendul
Terdenyut puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang.

4(4)(1). Gurindam memiliki ciri-ciri yang berikut:
(a) temanya mengemukakan "nasihat", "pandangan", atau "gambaran sesuatu keadaan". Misalnya, gurindam "Alamat Hari Nak Siang" (yang amat popular itu) menggambarkan keadaan alam semasa menuju cerah.
(b) Lazimnya, gurindam dibina dengan rangkap-rangkap yang masing-masing mempunyai dua baris yang ada rima di hujungnya. (Namun ada juga pengkaji yang berpendapat bahawa gurindam tidak terikat dengan struktur khas. Gurindam "Alamat Hari Nak Siang", misalnya, tidak mematuhi keperluan rangkap-rangkap dua baris yang berima).

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


4(5). Seloka
Seloka juga ialah puisi tradisional yang khusus. Di sini diturunkan sebuah seloka lama:

PAK KADUK

Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sudah dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.

4(5)(1). Perkara-perkara yang berikut ialah asas tentang seloka:
(a) Menyerupai gurindam dari segi tema.
(b) Lazimnya, mengandungi sindiran atau kiasan yang tajam.
(c). Bentuknya tidak terikat pada peraturan tertentu. (Namun ada juga seloka yang dibuat berbentuk seperti syair).

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


4(6). Mantera
Jampi mantera ialah puisi tradisional yang mempunyai kegunaan khusus dalam masyarakat Melayu tradisional. Di sini diturunkan sebuah mantera lama:

MANTERA PEMUJA PENGASIH

Uratku lipat lendan tujuh
Darah mengelegak dalam tubuh
Kena doaku hampir panas
Hai malaikat empat puluh empat
Aku serulah engkau
Suruhlah engkau pergi mengambil hati
Rentak rentang bawa hantar kasih sayang padaku
Siang dan malam tiada lupa padaku
Lupa makan nasi lupa akan aku
Dengan berkat doa la ilaha illallah
Muhammad rasulullah.

4(6)(1). Perkara-perkara yang berikut ialah asas bagi mantera:
(a) Kata-kata penawar atau kata-kata pemujaan yang digunakan oleh pawang dan dukun.
(b) Berbentuk bebas.
(c) Dikaitkan dengan unsur doa keagamaan.
(d) Ada cara tertentu untuk menyampaikannya secara lisan.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


5. Sajak Terawal
Dua buah sajak yang dipercayai paling awal ditulis di Malaysia adalah seperti yang berikut:-
(a) "Angan-angan Dengan Gurindam" oleh Omar Mustaffa; tersiar dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913; dan
(b) "Di Tengah Senggara" oleh Punggok (nama sebenar Mohamad Yasin Maamor); tersiar dalam Majalah Guru, Th.x, Disember 1933.

 


5(1). Punggok ialah penulis sajak yang paling penting dalam tahun 1930-an.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


6. Jenis Sajak
Sajak dibahagikan kepada jenis tertentu berasaskan beberapa aspek, seperti yang berikut:

 



(a) Dari aspek aliran, sajak dikatakan romantisme, realisme, eksistensialisme, dan lain-lain;
 



(b) dari aspek bentuk (luaran), sajak dikatakan kuatren, terzina, soneta, dll; Lihat [Lampiran 1]

 



(c) dari aspek kebolehfahaman, sajak dikatakan polos (diaphan), taksa (ambiguous), prismatik, atau kabur; dan
 



(d) dari aspek ciri kandungan, sajak dikatakan abstrak atau konkrit.

Perhatian: Ada banyak aspek lain lagi yang digunakan orang apabila memperkatakan jenis sajak.

 


6(1). Prismatis
Sajak yang bersifat prismatik mempunyai makna yang berlapis. Makna pada permukaan (lapis pertama) adalah jelas. Namun sajak itu dapat dikonkretisasi (diberi makna oleh pembaca) pada lapis keduanya. Makna lapis kedua adalah lebih mendalam. Contoh:

Apabila kusunting mawar
kusunting wanginya bersama durinya

(dari sajak "Kusunting Mawar" oleh Irwan Abu Bakar).

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


7. Nada
Nada ialah tinggi rendah tekanan suara. Nada berhubung dengan perasaan penyair ketika menulis. Nada yang utama dalam penulisan sajak ialah (a) nada melankolik, (b) nada patriotik, (c) nada protes, (d) nada romantik, dan (e) nada sinis.

 


7(1). Nada Melankolik
Nada mendayu-dayu atau berhiba-hiba yang menggambarkan kesedihan. Kegunaan: untuk mengemukakan tema penderitaan atau kehampaan.

Lara yang terus berarak
memenuhi rongga hati

Yang tinggal
hanya pedih, parah, dan pilu

(Dua contoh ini ialah ungkapan dari puisi Hasimah harun, "Yang Aku Mahu" dan "Kukunci Duka.)

 


7(2). Nada Patriotik
Nada yang menggambarkan keadaan hati penyair yang besemangat. Kegunaan: untuk mengemukakan tema perjuangan penuh keberanian atau cita-cita yang tinggi:

seinci tanah Inderapura dijajah
selaut darah penjajah kan tumpah

(Contoh dari sajak "Setitik Darah Semantan" oleh Ami Masra.)

...mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah

(Contoh dari sajak "Negeri Ini, Anak", oleh Marsli N.O.)

 


7(3). Nada Protes
Nada yang menggambarkan perasaan yang memberontak atau menentang. Kegunaan: Untuk mengemukakan tema ketidakadilan atau kekejaman yang menyebabkan rasa marah atau benci. Contoh:

Mengapa di sini prinsip terbalik?
dan mengapa di sini mangsa yang mengadu
tidak dilakukan pemeriksaan doktor ke atasnya?

terbanglah
terbanglah kembali ke udara
dan segera jadi abu

hanya berdoa untuk dirinya,
dan keluarganya saja
dan tiada sekelumit pun
doanya untuk menobatkan
ilmu kepada anak bangsanya

(Petikan dari puisi Dinsman, "Keputusan Hakim Itu Salah -- Kata Christopher Fernando", puisi Latif Mohidin, "Terbanglah", dan puisi Arisel BA, "Universiti 2".)

 


7(4). Nada Romantik
Nada yang menggambarkan ketenangan dan kedamaian. Kegunaan: Untuk mengemukakan tema kasih sayang, harapan, dan impian bahagia.

Terima kasih, sayang
kerana merenungku dengan sabar cinta
waktu aku menghirup perlahan
segelas teh Ahad

(dari puisi Irwan Abu Bakar, "Cinta Pagi Minggu".)

 


7(5). Nada Sinis
Nada yang menggambarkan rasa kurang senang. Kegunaan: Untuk mengemukakan perkara yang tidak disukai atau dipersetujui secara sindiran.

kalau mahu buat kerja sampingan
(seperti merompak dan merogol)
buatlah di luar waktu kerja
supaya terjaga profesionalisme

mencari ilmu itu tidak lagi berpergian jauh
sekadar melayari internet
dari komputerku di bilik tidur.

(dari sajak "Profesionalisme" oleh Irwan Abu Bakar dan sajak "Universiti 2" oleh Arisel BA).

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


8. Ciri Sajak Yang Bermutu/Lemah
Berikut disenaraikan apa yang lazimnya dikatakan sebagai ciri sajak yang bermutu dan ciri sajak yang lemah:

 


 


8(1) Sajak bermutu
Sajak yang baik dan bermutu dicirikan oleh (a) isi yang baik dan (b) gaya bahasa (serta teknik berkaitan) yang baik.

 


8(1)(1). Isi Yang Baik
Perkara yang penting tentang isi sajak ialah
(a) adanya makna tambahan bagi isi permukaan yang dapat dikonkretisasi (bersifat prismatis: lihat 6(1));
(b) tidak bersifat terlalu peribadi; dan
(c) ditimbulkan melalui teknik yang sesuai.

 


8(1)(1)(1). Sifat Terlalu Peribadi
Isi sajak menjadi terlalu peribadi apabila (a) membicarakan perasaan terhadap seseorang secara tidak kena-mengena dengan pembaca, atau (b) menggunakan simbol peribadi sehingga tidak dapat ditafsirkan oleh pembaca. Menurut Rahman Shaari, sajak yang isinya sedemikian elok disimpan dalam fail peribadi sahaja. [Kembali ke 16(1)]

 


8(1)(2). Gaya Yang Baik
Gaya ialah cara penyair menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan puitis. Gaya puisi berbeza daripada gaya bidang-bidang lain kerana penekanan yang tinggi kepada nilai estetika untuk setiap kata dan baris. Lihat juga [Modul 11].

 


 


8(2) Sajak yang lemah
Sajak yang lemah dicirikan oleh (a) imej bercampur, (b) klise, (c) gaya melankolik, (d) kata-kata bombastik, (e) imbuhan yang tidak terdapat dalam tatabahasa bahasa Melayu, dan (f) sifat prosaik.

 


8(2)(1). Imej Becampur:
Masalah imej sering kali dikatakan sebagai masalah utama dalam penciptaan sajak. Sering kali sajak menjadi tidak menarik kerana kekurangan imej. Namun ada pula berlaku masalah apabila imej-imej bercampur aduk sehingga keseluruhan isi sajak itu tidak dapat diikuti dengan lancar. Imej yang digunakan harus dipelihara supaya tidak menimbulkan kekeliruan.
Contoh 1 (ciptaan sahaja):

gelora laut menghempas lantai waktu
hati pilunya terbakar hangus
terbang lepaslah merpati di rimba

Gerakan imej dari "laut" ke "api" (terbakar) dan ke "unggas di rimba" dianggap gaya yang lemah kerana imej yang pelbagai ini akan menimbulkan gangguan kepada penumpuan pembaca.

Contoh 2 (dari sajak "Tentang Nafas" oleh Dahiri Saini):

pelihara saja kumpulan biri-biri sabar
...
untuk menguji tembok kesabaran setiap insani
...
aku mula menggilap lampu takwaku
...
mencari sarang ketenangan

Kata-kata yang digunakan sebagai metafora (di sini dipapar dengan warna merah) amat sukar untuk diasosiasikan dan sangat jauh hubungannya antara satu dengan lain.

 


8(2)(2). Klise:
Klise ialah kata, ungkapan, atau perbandingan yang telah digunakan orang dengan agak kerap. Kata, ungkapan, dan perbandingan sedemikian tidak lagi segar dan tidak berupaya memberikan tenaga kepada puisi dan lazimnya gagal menarik minat pembaca. Klise bolehlah didefinisikan sebagai ungkapan basi.

(a) Antara kata/ungkapan yang telah menjadi klise pada hari ini termasuklah yang berikut:

- (burung) camar
- (pokok) cemara
- menggapai (bintang)
- (pisau) belati
(dengan konotatif negatif)
- mentari
- senja
(tempoh menuju kegelapan)
- penggandaan separa, "pepohon", "beburung", dll
- kekuatan waja
(dan perbandingan yang seumpamanya)
- dihempas/dibuai gelombang
- di dada waktu
- di dada kota

(b) Bentuk judul puisi yang berikut juga telah menjadi klise:
Kata ... Kepada ...
Misalnya: "Kata Burung Kepada Kepaknya".

 


8(2)(3). Gaya Melankolik:
Gaya melankolik ialah gaya yang "dipenuhi dengan emosi sedih pilu". Lihat [submodul 7(1)].
Petua: Perasaan sedih perlu diringankan sedikit ketika menulis sajak tentang kesedihan peribadi supaya pembaca dapat berkongsi sedih dengan penulis.

 


8(2)(4). Kata Bombastik
Kata-kata bombastik ialah kata-kata yang terlalu 'besar' sehingga tidak sepadan dengan maksud yang hendak disampaikan. Kelemahan dari aspek ini termasuklah penggunaan metafora yang terlalu 'besar' untuk memerihalkan perkara yang kecil.

Sosok karismatis ini
menghunjat simpatisannya

Kata "sosok", "karisamtis", "hunjat" dan "simpatisan" dapat dianggap berlebihan besarnya.

(Dari puisi "Tahi Lalat" karya Nora, Dewan Sastera, Julai 1999)

 


8(2)(5). Salah satu cara gaya menjadi lemah ialah kelemahan tatabahasa: Lihat [14(1)(1)].

 


8(2)(5)(1). Imbuhan Bidah
Hal ini merujuk kepada kecenderungan menulis kata-kata ganda seperti "bebunga", rerumput", " gegunung", dsb.

 


8(2)(6). Sifat Prosaik
Memang wujud karya yang dinamai puisi prosaan (prose poems). Namun, pada amnya, sajak menjadi lemah apabila bersifat prosa. Sifat ini ditimbulkan melalui penggunaan kata-kata yang lebih serasi dengan karya prosa, misalnya "tetapi", "dan", "atau", "dari segi", dsb. Perlu diperhatikan bahawa hal ini berbeza dengan "pengucapan bersahaja", submodul 12(1), yang dapat mencirikan sajak yang baik.

Contoh 1 (Dari sajak "Cinta" karya Zarinah Hassan, memperlihatkan penggunaan kata hubung 'kerana' dan 'dan' yang membuat bait puisi menjadi ayat prosa):

Namun aku masih termanggu
kerana kejernihan paling sukar diwarna
dan cinta tidak boleh dipaksa

(Ayat prosa: Namun aku masih termanggu kerana kejernihan paling sukar diwarna dan cinta tidak boleh dipaksa.)

Conoth 2 (dari sajak "Masa Tempoh" karya Ahmad Nabel Hj Abu Bakar):

Di sini tidak wujud kejadian-kejadian yang mesti dan pasti.
Yang wujud hanya peribadi yang bebas dan berubah tanpa putus-putus
dengan tiap-tiap satu rangkaian menjelaskan rangkaian yang sebelumnya dan yang sesudahnya.

(Dalam kes ini, penyair sengaja menggunakan ungkapan prosaik sebagai gayanya.)

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


9. Bentuk (atau Struktur) Sajak
Sama seperti puisi tradisional, sajak mempunyai (a) bentuk luaran dan (b) bentuk dalaman.

 


9(1). Bentuk Luaran
Bentuk luaran bagi puisi ialah cara fizikal perkataan (atau suku kata) dan baris diatur untuk membina jasad puisi itu. Bentuk luaran merupakan sesuatu yang dapat dilihat.

 


9(1)(1). Bentuk luaran lazimnya merujuk kepada (a) bilangan kata (atau suku kata) dalam baris, (b) jumlah baris dalam bait (atau rangkap), dan (c) susunan bunyi di hujung baris-barisnya.

 


9(1)(2). Satu ciri bentuk luaran puisi diasaskan kepada rentak. Rentak diperoleh melalui susunan kata-kata. Rentak berkaitan dengan cara pembacaan. Dalam puisi tradisional, rentak biasanya teratur dan berulang-ulang dalam setiap baris. Misalnya, pada pantun dan syair, tempat hentian pembacaan telah ditentukan. Rentak puisi moden pula berbeza antara sebuah sajak dengan sebuah sajak yang lain. Rentak puisi moden "lebih berdasarkan tekanan makna dan perkataan di setiap baris serta susunan perkataan di setiap baris dan bukan kepada struktur rangkapan". Rentaklah yang membezakan puisi dengan prosa. Kebanyakan puisi moden mempunyai rentak yang jelas walaupun tidak mengikut pola-pola tertentu yang ketat dari baris ke baris, atau bait ke bait. Elok diperhatikan perbezaan rentak antara pantun empat kerat "Pulau Pandan" dengan bait ketiga (bait 4 baris) sajak "Penjual Bunga" oleh Muhammad Haji Salleh:

Pulau Pandan
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

Penjual Bunga
menziarah tempat itu kembali
aku kehilangan,
kaki lima serasa kosong
di mana dia meninggal

 


9(1)(3). Sajak lazimnya berbentuk bebas. Tidak ada pola-pola tertentu pada bentuk luarannya.

 


9(1)(4). Sejumlah baris puisi yang membentuk satu kesatuan idea dan emosi dinamai bait. Dinamai juga rangkap. Bait tidak terikat kepada bunyi, hanya kepada kesatuan idea dan emosi. Bait merupakan ciri jelas yang membezakan puisi dengan prosa.

 


9(1)(5). Ada juga puisi moden yang bentuk luarnya direka bentuk untuk menggambarkan isinya. Hal ini dicapai melalui penyusunan aksara dan baris kepada rupa bentuk tertentu. Contoh:
Sajak "Penjual Bunga" oleh T. Alias Taib mempunyai dua rangkap, dengan aksara bagi setiap rangkap disusun untuk membentuk rupa sekuntum bunga. Maka sajak ini mempunyai bentuk visual seperti dua kuntum bunga yang sedang mekar.

 


9(2). Bentuk Dalaman
Bentuk dalaman puisi merujuk kepada bentuk daripada segi pengutaraan isi. Perkara ini dimanifestasikan oleh cara tema diolah: dimulai dengan 'pengenalan', diikuti 'perkembangan', dan diakhiri dengan 'kesimpulan'.

 


9(2)(1). Kesimpulan dapat dibentuk oleh (a) keputusan atau (b) soalan.

(a) Contoh kesimpulan yang dibentuk oleh keputusan:

dan kalau aku dipinta pandangan
aku akan mengesyorkan
“eloklah saudara diam!”

Unggul ini
ialah kesegalaanku
Tak ada tawar-menawar
pada sifat atau dirinya
kerana ia adalah
kemurnianku
yang kuawasi supaya
selalu kudus

Sengsara ini
menjadi wahana muhasabah
meneropong diri
meneliti peribadi

(Tiga contoh di atas masing-masing adalah dari sajak “Diam” oleh Rahman Shaari, sajak “Unggulku” oleh Muhammad Haji Salleh, dan sajak "Kukunci Duka" oleh Hasimah Harun.)

(b) Dua contoh kesimpulan yang dibentuk oleh soalan:

apakah yang semestinya ditulis
oleh seorang penyair
sewaktu merayakan
ulang tahun kemerdekaan tanah airnya
selain menyatakan pendiriannya
dengan merdeka?

(Sutung Umar RS, “Penyair dan Hari Kemerdekaan)

Bagaimana nanti jika kamu terluka dan tak berupaya lagi melawan angin? akan ke manakah aku?

(Zaen Kasturi, “Burung Kepada Sayapnya”.)


[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


10. Bahasa (Irama, Makna, dan Klise)
Kepadatan dan kepersisan pemilihan kata ialah kunci kepada puisi yang baik.
Tiga aspek penting yang perlu diperhatikan dari segi bahasa sajak ialah (a) irama, (b) makna, dan (c) klise.

 


10(1). Irama
Irama ialah sifat bunyi kata (malah suku kata) yang diucapkan. Antara sifat kata (atau suku kata) itu ialah lembut, kasar, tajam, bising, keras, panjang, pendek, dan sebagainya. Irama sering ditakrifkan sebagai "alunan yang timbul dari pengulangan panjang pendek bunyi, keras lembut tekanan, dan tinggi rendah nada". (Takrif dalam tanda "... " dipetik dari Rujukan Tambahan 1.)

 


10(2). Makna
Ada tiga perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam memperkatakan makna kata-kata yang digunakan dalam sajak. Perkara-perkara itu ialah ketaksaan (atau ambiguiti), makna tersembunyi, dan ketepatan makna.

 


10(2)(1). Ketaksaan (Ambiguiti)
Ada tiga perkara penting yang dapat diperkatakan tentang ambiguiti:

(a)"Menyatakan sesuatu dengan tidak menyebutnya secara terus terang ialah suatu kemahiran yang disanjung tinggi dalam tradisi kesusasteraan Melayu" (Rujukan Utama 2, hlm 42).

(b) Pada amnya, ketaksaan atau ambiguiti dianggap bernilai tinggi dalam sastera dan digunakan oleh penyair-penyair ternama seantero dunia.

(c) Ketaksaan atau ambiguiti dihasilkan daripada sifat kata yang mempunyai makna yang berbilang dan berlapis.

 


10(2)(2). Makna Tersembunyi
Semua kata berperanan menyampaikan sesuatu makna dasar. Di samping itu, ada kata-kata yang dapat menyampaikan makna yang tersembunyi.

 


10(2)(2)(1). Dalam penulisan puisi, perhatian khusus harus diberi kepada kata yang mempunyai konotasi emosi.

 


10(2)(3). Ketepatan Makna
Perkara paling asas dalam penulisan sajak ialah pemilihan kata. Penulis hendaklah memilih kata yang terbaik daripada perbendaharaan kata yang besar. Hal ini perlu dilakukan dengan bersusah payah. Kata yang dipilih mestilah dapat melakarkan pengalaman penyair secara konkrit, terperinci, halus, dan kaya dengan makna emosi. Penggunaan kata yang kurang tepat akan menyebabkan gambaran dan makna jadi samar-samar dan kurang jelas.

 


10(2)(3)(1). Makna Denotatif
Makna yang langsung atau khusus seperti yang diberi dalam kamus. Jelasnya, makna yang tersurat.

 


10(2)(3)(2). Makna Konotatif
Makna yang lebih luas daripada makna yang tersurat (seperti yang diberi dalam kamus). Jelasnya, makna tambahan, atau tersirat, yang menimbulkan kesan emosi.

 


10(3) Klise
Lihat submodul [8(2)(2)].

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


11. Gaya Bahasa
Gaya ialah "cara penyair menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu". Gaya digunakan untuk melahirkan keindahan. Ada beberapa gaya bahasa yang sering digunakan untuk mendapatkan keindahan, seperti yang berikut:

 


11(1) Diksi
Diksi ialah pemilihan dan penyusunan kata dalam puisi. (Ada penulis yang menggunakan istilah "diksi" untuk merujuk kepada pemilihan kata semata-mata sementara cara kata disusun menjadi baris dinamai "sintaks".) Perkara yang diutamakan dalam pemilihan dan penyusunan itu ialah ketepatan, tekanan, dan keistimewaan. Perhatian istimewa diberi terhadap sifat-sifat kata seperti denotatif, konotatif, bahasa kiasan, dsb.

 


11(1)(1). Hiperbola
Gaya yang dilambangi kata-kata yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan. Tujuannya ialah untuk menegas atau menekan pandangan, perasaan, dan pemikiran.

Dendam kesumatku ingin memanah jantung Si Bota ini dengan jemparing sakti, biar mati Si Bota

(dari sajak "Bota mata Tiga" oleh Irwan Abu Bakar)

 


11(1)(2). Hibrid
Penyusunan perkataan yang melibatkan dua perkataan digabungkan menjadi sepatah kata. Tujuan: Untuk menimbulkan kesan kepadatan pengucapan. Contoh:
"kotateguh" = kota+teguh (dari sajak "Susila" oleh Kemala)
"budaktua" = budak+tua (dari sajak "Budaktua" oleh A. Ghafar Ibrahim)
"ampusana" = ampu+sana (dari sajak Hashim Yaacob, "Ampusana Ampusini")

 


11(1)(3). Inversi
Penterbalikan kedudukan kata-kata yang bersebelahan berbanding dengan kelaziman dalam bahasa biasa. Hal ini dilakukan lazimnya untuk menarik perhatian pembaca atau pendengar kepada aspek yang dirasakan oleh penyair sebagai lebih penting:

di sini ada kolam dengan nilai maju
di dalamnya bermandian perempuan
dengan kecil baju.

Bila kita lihat manusia terbiar larat
hingga mesti merempat ke biru laut dan ke kuning darat

Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan.

(petikan dari puisi "Coral Beach" oleh Rahman Shaari, puisi "Kita Ini Tetamu Senja" oleh A. Samad Said, dan puisi "Tamu Semalam" oleh Hashim Yaacob).).

 


11(1)(4). Ironi
Kata biasa yang digunakan untuk membawa makna yang bertentangan dengan kenyataan, atau ketaksesuaian antara harapan dengan kenyataan.

Orang yang tidak membaca
sentiasa pandai

Kita orang terpandai yang dungu
Menjaja kebodohan kita di pentas dunia

(dari puisi Rahman Shaari, "Beza" dan puisi A. Wahab Ali, "Menuju Kepupusan").

 


11(1)(5). Paradoks
Gaya bahasa yang memperlihatkan pertentangan isi dengan kenyataan, tetapi sebenarnya betul. Gaya ini hampir sama dengan ironi. Contoh:

Bunga kita, kita yang punya
Agama kita, kita menganutinya.
...
Kita hulurkan tangan
Sama-sama menjahit robeknya.

Biar berlalu menjadi sesalan
Detik hitam dipadamkan
Jangan biar ia menjalar
Nanti kita bersama
Mengusung keranda ke kuburan.

(cuplikan sajak "Dari Mulut Ayah" oleh Borhan Md. Zain.)

 


11(1)(5)(1). (Sajak) parodi ialah sajak yang mengandungi unsur imitasi atau mimik (yang lucu atau diperbesarkan; mengejek atau mempersenda) terhadap seorang pengarang, karya, stail, dsb. Sajak Irwan Abu Bakar "Lima Orang Melayu Yang Dilupai" (Dewan Sastera, Mei 2001) ialah sebuah parodi.

 


11(2). Pengulangan
Penulisan kata (atau bahagian kata), ungkapan, baris (atau bahagian baris), atau rangkap secara lebih daripada sekali. Tujuan: Untuk (a) menegaskan maksud atau (b) menimbulkan pengucapan yang berirama dan indah.

 


11(2)(1). Pengulangan Bunyi

11(2)(1)(1). Aliterasi dan Asonansi
(a) Aliterasi ialah pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam sesuatu baris, biasanya pada awal perkataan yang berurutan:


bara berang mengunyah alamnya
dengan debar dosa
kan kusedarkan keruntuhan mereka
karena kami kebanjiran
segar sebelum sebak

Contoh-contoh tersebut masing-masing adalah dari sajak A. Samad Said (Anak-Anak Palestina), Rahman Shaari (Senja), A. Samad Said (Cinta Hang Kasturi), R. S. Rendra (Sajak Orang Kepuasan), dan Rahman Shaari (Masalah).

(b) Asonansi ialah pengulangan bunyi vokal yang sama pada perkataan berturutan dalam sesuatu baris:


hari lahirnya jumaat lalu
segala-galanya telah menungguku
kita masih pemain sandiwara pintar
diolek leloghat dunia
kudengar manusia hiruk pikuk
 

Contoh-contoh ini masing-masing dari sajak A. Samad Said ("Janda Setinggan"), T. Alias Taib ("Fragmen Kampung" dan "Malam Bercabang"), dan Irwan Abu Bakar ( "Untuk Kau Yang Indah" dan "Mangsa").

11(2)(1)(2). Pengulangan bunyi dapat juga berlaku kepada suku kata (atau bahagian suku kata):
 


kecil dan terpencil
dingin dan sakit menggigit perit
 

 

Contoh pertama ialah baris dari sajak T. Alias Taib, "Sebatang Kara", sementara contoh kedua ialah dari sajak Irwan Abu Bakar ("Mangsa").

 


11(2)(2). Pengulangan Kata

11(2)(2)(1). Anafora dan Epifora
(a) Anafora ialah pengulangan kata pada awal baris puisi:


dengan nafas tasik lembah
dengan bisikan berbahang
dengan debar dosa


segar aku menatapmu
segar sejenak
segar sebelum sebak


pada hutan menimbun daun
pada daun tumbuh cakerawala
pada cakerawala ada hutan
pada hutan ada daun
 

Tiga contoh di atas masing-masing diambil dari sajak Rahman Shaari "Senja" dan "Masalah", dan dari sajak Muhammad Haji Salleh "Wayang I".

(b) Epifora ialah pengulangan kata pada akhir baris puisi:


dia telah masuk ke dalam faham kita
ke dalam kemajuan kita
dia telah masuk ke dalam kesopanan kita
 


gerombolan lelaki pergi
putera kecilmu turut pergi
 

Contoh ini adalah dari sajak Rahman Shaari "Dalam Kesopanan Kita" dan sajak Siti Zainon Ismail "Ribut Pasir Taufan Takdir".

(c) Ungkapan dari sajak T. Alias Taib "Pandangan Dari Sebuah Cafe" yang berikut mengandungi kedua-dua anafora dan epifora:


dengan sut jelaga
dengan tali leher jelaga
dengan Bally jelaga
 

11(2)(2)(2). Pengulangan kata dapat juga berlaku pada tengah baris:

tika murai berhenti berkicau
kerbau di kandang berhenti menguak

Contoh ini dipetik dari puisi Irwan Abu Bakar, "Komentar".

11(2)(2)(3). Pengulangan kata akhir sesuatu baris sebagai kata pertama baris berikutnya dapat menimbulkan kesan tertentu:

terus bertikam dua pahlawan
pahlawan Melayu pembela Melaka

tempat banyak turunnya harga
harga diri wanita sendiri

akal diletak pada kehendak
kehendak terletak di puncak nafsu

Contoh-contoh ini adalah dari puisi Irwan Abu Bakar, "Sesal Orang Melaka" dan "Sale Di Bahagian Pakaian Wanita", dan puisi Ami Masra, "Wasiat Kepada Bangsa".

 


11(2)(3). Rima
Pengulangan bunyi (lazimnya suku kata) yang sama di dalam atau di akhir baris yang berhampiran, biasanya baris yang berurutan atau berselang sebaris. Susunan rima lazimnya ditulis abab (berselang sebaris), aaaa (berurutan empat baris), aabb (berurutan dua baris demi dua baris), dan sebagainya.


di taman ini seorang pemetik sunyi
senja dari segala senja menyanyi
 

Contoh ini ialah contoh rima aa di akhir baris. Dipetik dari puisi Suhaimi Haji Muhammad, "Kesendirian". Berikut ialah contoh rima aabb di akhir baris yang dipetik dari puisi "Menggamit Bintang" karya Hashim Yaacob:


Lalu menyinar mentari
pada siang hari
Bulan ikut mengambang
bila malam jelang.

 


11(2)(4). Irama
Alunan yang timbul hasil pengulangan bunyi (panjang pendek), tekanan (keras lembut), dan nada (tinggi rendah).

 


11(2)(5). Pengulangan baris
(a) Pengulangan baris (atau bahagian baris, biasanya seluruh subjek atau predikat ayat) dapat berlaku sama ada secara berturutan (pada ayat yang berikutnya) atau secara tertangguh (misalnya, pada kedudukan relatif yang sama bagi rangkap berikutnya).
(b) Secara berturutan, biasanya untuk penegasan idea atau mesej. Contoh (dari puisi Irwan Abu Bakar "Sesal Orang Melaka", puisi Kemala "Karang", dan puisi Marsli N.O., "Negeri Ini, Anak"):

Tuah menghunus keris setia
Jebat menghunus keris setia
 


yang ada hanya mata dan dada
yang ada hanya bibir dan lidah
 

...mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah.

(c) secara tertangguh, biasanya untuk keindahan. Contoh pengulangan seluruh ayat (dari "Fragmen Kampung - Telaga" karya T. Alias Taib dan "Telah" karya Lim Swee Tin):

Telaga

hanya inilah satu-satunya
meja perundingan kami
tempat ibu kami mengelilinginya
dan berkongsi rahsia
setiap kali pagi terjaga

hanya inilah satu-satunya
meja di kampung kami
tempat kekasih menimba cinta
di dasarnya yang dalam
sementara menunggu malam terlelap

hanya inilah satu-satunya
meja kesayangan kami
tempat kami bergaduh dan membesar

Contoh puisi "Telah":


telah kenal aku
pada pohon-pohon
tempat datang
daun-daun
telah kenal aku
pada lurah dan gunung
tempat mulanya sungai
telah kenal aku
pada cemara dan padang
di mana angin melayang
telah kenal aku
pada siang dan malam
pengumpul rahsia alam

Contoh pengulangan tertangguh separa ayat (dari "Ghaib" karya T. Alias Taib):

aku telah melihat tetesan air
kering di lidah matahari

aku telah melihat jaluran asap
tersembunyi di perut udara

aku telah melihat segenggam garam
cair dipulas air

aku telah melihat kepulan fikirmu
terapung di meja
kehilangan kata-kata

 


11(2)(6). Pengulangan rangkap lazimnya untuk penegasan idea atau mesej.
Contoh (dari puisi Irwan Abu Bakar, "Tamu dari Dalam"):

lantas aku protes:

Hai kebosanan
kemarahan
kesepian
kesibukan!
Jangan kauketuk-ketuk pintu rumahku
kerana di sini tiada tempat bagimu.

Tuk, tuk tuk, tuk, tuk!

Hai kebosanan
kemarahan
kesepian
kesibukan!
Jangan kauketuk-ketuk pintu rumahku
kerana di sini tiada tempat bagimu.

 


11(3) Perbandingan
Ada beberapa jenis perbandingan (atau kiasan) yang lazimnya digunakan dalam puisi.

 


11(3)(1). Alusi
Perbandingan menggunakan watak yang terdapat dalam mitos, legenda, karya sastera, dan sejarah.

Contoh yang berikut dipetik dari puisi "Jebat Yang Setia" karya Hashim Yaacob dan puisi "Jebat Oh Jebat" karya Dinsman:


Biarkan Jebat yang berkawal
pada segenap pintu menaramu

hari ini kaulihatlah Jebat
ada menteri demokrasi tetapi lagaknya dahsyat

 


11(3)(2). Metafora
Perbandingan atau kiasan yang menghubungkan sesuatu objek dengan objek lain atau dengan sesuatu konsep (dengan satu kata bersifat konkrit sementara yang satu lagi bersifat abstrak).
Contoh (dari puisi A. Samad Said, "Desa Jengking"):
rimba buas
kota ganas
pesan syahdu sabar
dinding derita

 


11(3)(3). Simile
Perbandingan antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, yang dibuat secara langsung melalui penggunaan kata-kata tertentu, misalnya bak, bagai, laksana, ibarat, seperti, umpama, serupa, dan semacam.

Ombaknya seperti deru bas

Laksana hujan yang turun
pada bumi gersang
kau datang ke dalam hidupku.

dari tubuhnya
merangkak kehidupan
bagai seekor siput
mencari sehelai daun.

Tiga contoh ini ialah ungkapan A. Samad Said dalam puisinya "Nafas Semantan", ungkapan Hashim Yaacob dalam puisinya "Selamat Beristirehat Sahabatku", dan ungkapan T. Alias Taib dalam puisinya "Pengemis".

 


11(4). Imej, Lambang, dan Personifikasi

 


11(4)(1). Imej
Kata atau ungkapan yang menimbulkan gambaran dan memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran, atau imaginasi pembaca. (Gambaran yang terhasil daripada penggunaan perkataan atau ungkapan itu dinamai imejan).
Ambil ungkapan ini sebagai contoh:
"menggerakkan gegunung di jiwa"
Ungkapan ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada jiwa pembaca. Imejan yang terhasil ialah perasaan penyair yang amat tinggi keamatan dan magnitudnya.

 


11(4)(2). Lambang
Kata yang membawa makna yang lain daripada yang lazim (yang tersurat). Sajak yang berciri sedemikian dinamai sajak simbolik.

Contoh 1:

Embun hatinya berkaca
kejauhan paginya
embun hatinya berkata
ia diliputi senja.

Contoh ini ialah bait pertama sajak M. Ghazali "Embun". Dalam sajak ini, embun digunakan untuk melambangi suatu perkara yang lain. (Menurut analisis Shahnon Ahmad, embun di sini merujuk kepada kemerdekaan negara kita. Namun ada penganalisis, misalnya Muhammad Haji Salleh, yang menganggap sajak ini sebagai sajak kabur kerana lambang embun itu tidak dapat dikaitkan dengan sesuatu perkara yang lain dengan mudah.)

Contoh 2:

AKU DAN SALJU DI KUALA LUMPUR

Salju nan lebat tidak membasahi bajuku kerana tidak kurelakan
aku terus tegak di salju nan lebat dan aku tidak lari
lembap salju gagal membasahi bajuku tanpa relaku
lembut salju gagal mengelus bajuku basah tanpa relaku
dan salju tentu reda akhirnya.

Akhirnya salju pun reda
bajuku tidak basah
dan aku tidak rebah.

Aku terus berdiri gagah.

Sajak Irwan Abu Bakar ini yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera (DS) Januari 2002 telah diulas oleh A. Rahim Abdullah dalam DS Februari 2002. Menurut A. Rahim, kata "salju" (dalam sajak ini) merujuk kepada budaya luar.

 


11(4)(3). Personifikasi
Memberi sifat manusia kepada sesuatu yang bukan manusia (binatang, objek, konsep, dan sebagainya).
Contoh:
(a) senja letih disambut salak
(b) langit dan laut bersetubuh
(c) ikan itu menyepi dan menjadi bingung
(b) hanya pelita yang masih menjala
Contoh-contoh itu ialah ungkapan T. Alias Taib, masing-masing dari puisi "Bunyi", "Pandangan Dari Sebuah Daratan", "Lukah", dan "Still Life".

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


12. Teknik
Teknik puisi ialah cara penyair menghasilkan puisi secara keseluruhannya. Ringkasnya, cara isi puisi disampaikan. Kebanyakannya timbul daripada gaya bahasa seperti metafora, perumpamaan, dan sebagainya. Maka gaya ialah subset bagi teknik. Teknik juga melibatkan sudut pandangan. Cara puisi dipersembahkan secara visual juga merupakan teknik: Lihat 12(2).

 


12(1). Pengucapan Bersahaja
Teknik penulisan puisi yang hasilnya seakan-akan prosa tetapi "kaitan wacana antara satu bahagian dengan bahagian seterusnya agak renggang". Puisi sedemikian masih perlu diberikan penanda wacana tertentu untuk menjadikannya ungkapan prosa.

Contoh (dua baris pertama dari puisi A. Wahab Ali, "Dering Sen"):

Tadi aku berbual dengan pekedai kecil
ia yakin datang ke mari

Bentuk prosa:
Tadi aku berbual dengan pekedai kecil. Dalam perbualan itu aku mendapati bahawa ia sangat yakin datang ke mari.

(Kredit: Contoh ini diambil terus dari Rujukan Utama 1).

 


12(2). Enjambemen
Teknik penulisan puisi yang melibatkan pematahan baris-baris dan disambung pada baris berikutnya. Lazimnya terdapat tanda noktah di tengah baris. Contoh:

Memang begitu banyak
diperlukan kekuatan. Ke pangkalan
batin rakit ditambatkan.

ada suara terbit dari bibir bunga
yang sempat kutangkap

(Contoh pertama dipetik dari puisi A. Samad Said, "Menambat Rakit" dan contoh kedua dari puisi "Di Kedai Bunga" karya T. Alias Taib).

 


12(3). Paralelisme
Paralelisme ialah teknik menyenaraikan susunan frasa yang hampir sama sintaksnya.
Contoh (dari puisi "Selagi" karya Ehsan Jamily):
seorang ke laut seorang ke darat
seorang ke timur seorang ke barat
seorang ke sini seorang ke situ
seorang begini seorang begitu

 


12(4) Kefahaman terhadap "budaya bahasa" akan membantu penulis menghasilkan karya yang baik: Lihat Lampiran 4.

 


12(4)(1). Dalam konteks ini, penggunaan retorik khutbah yang amat digemari penyair-penyair baru lazimnya dianggap suatu teknik yang lemah. Retroik khutbah ditandai oleh kata-kata seperti "ayuh", "marilah", "bangunlah", "wahai...", dan seumpamanya. Contoh:

Anak-anak yang sedang lena
bangkitlah
...

Bangkitlah
jangan sesal nanti
...

(Contoh di atas adalah dari sajak "Bangkitlah" oleh Rejab F.I.)
 


12(5). Soalan Retorik

12(5)(1). Soalan retorik ialah soalan yang mengandungi jawapan baginya. Jelasnya, soalan retorik tidak memerlukan jawapan kerana jawapan sudah tersedia dalam soalan itu sendiri.

12(5)(2). Soalan retorik digunakan apabila penyair berhajat membuat pembaca segera berfikir tentang perkara yang diutarakan. Contoh:

Di mana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita?

(Dari sajak "Angan-Angan Dengan Gurindam" oleh Omar Mustaffa.)

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


13. Tema
Persoalan utama yang diutarakan oleh penyair.

 


13(1). Tema dapat menyentuh berbagai isu, misalnya nilai-nilai hidup bermasyarakat, nilai kesetiaan, nilai keagamaan, dan sebagainya.

 


13(2). Nama Corak Puisi
Tema puisi boleh dikategorikan kepada beberapa corak. Corak puisi diberikan nama-nama tertentu, seperti yang beriktu:

 


13(2)(1). Elegi = puisi tentang kenangan terhadap peristiwa kematian.

 


13(2)(2). Epigram = puisi yang berupa pengajaran atau nasihat.

 


13(2)(3). Ode = puisi yang berupa sanjungan, pujian, atau pemujaan, terutama terhadap tokoh atau objek tertentu yang disukai, dihormati, atau dikagumi.

 


13(2)(4). Balada = puisi yang memberikan penekanan kepada pernyataan perasaan, terutama perasaan sedih berhubungan dengan peristiwa yang dialam. Biasanya merupakan cerita.

 


13(2)(5). Satira = puisi yang berupa kecaman, cemuhan, atau sindiran tetapi disampaikan melalui sindiran (yang halus tetapi tajam). Sindiran ini dilakukan dengan gaya yang bersifat olok-olok dan menggelikan hati.

 


13(2)(6). Puisi moden yang bertemakan jenaka atau kelucuan telah diberi fokus dalam laman web "http:// www. communityzero.com/ sajen".

 


13(3). Watak
Kerap kali "watak" digunakan untuk membawakan atau mempersembahkan tema.
13(3)(1). Watak utama dalam sesebuah karya dinamai protagonis.
13(3)(2). Watak "jahat" (atau watak yang menjadi penentang kuat kepada watak utama) dinamai antagonis.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


14. Kesalahan dan Kelemahan Umum
Puisi yang baik bebas daripada kesalahan umum dan kelemahan umum.

 


14(1). Kesalahan Umum
Kesalahan umum ialah kesalahan pada karya yang dapat dibuktikan, sama ada (a) dari segi peraturan bahasa atau (b) dari segi lojik.

 


14(1)(1). Kesalahan Dari Segi Peraturan Bahasa
Perkara-perkara yang berikut wajar diberikan perhatian:

(a). Penggunaan Kata Ganti Nama Diri Singkat 'ku' dan 'kau':
Perhatikan bahawa kata ganti nama diri 'ku' dan 'kau' digunakan secara gramatis hanya sebagai awalan penanda pasif. Kedua-duanya tidak boleh digunakan sebagai subjek ayat. Dalam bentuknya yang gramatis, kedua-duanya ditulis serangkai dengan kata kerja yang mengikutinya. Kata kerja itu tidak mempunyai imbuhan, misalnya kucari, kauberi.
Pada hari ini, penggunaan kata ganti nama diri 'ku' dan 'kau' sebagai subjek ayat nampaknya diterima umum dalam puisi:

dan kau hari itu, Indahku
tertimpa oleh perlanggaran

kau kini berada di rumah
dengan tanda kemalangan di wajah

Syukur pada Yang Esa
kau kembali bermanja
di tengah keluarga

(Ketiga-tiga contoh ini adalah dari puisi Rahman Shaari, "Kemalangan Tiba, Indah").

Dalam versi terdahulu (yang diberi judul "Kemalangan Tiba"), Rahman telah mengelakkan penyimpangan-penyimpangan ini kecuali yang kedua. Nyatalah penyimpangan itu diperkenalkanya untuk menambah nilai puitis sajak ini.)

(b). Kata sendi nama untuk menunjukkan 'waktu' ialah 'pada', bukannya 'di'. Dari puisi "Disforia Alam Bahasaku" karya Irwan Abu Bakar ditemui penyimpangan yang berikut:

Muncul kilang pencemar alam di zaman moden

(c) Kata sendi nama "dari" digunakan untuk merujuk kepada "tempat" dan "waktu" sahaja. Kata sendi nama untuk menunjukkan perbandingan ialah "daripada", bukannya "dari". Perhatikan penyimpangan yang dilakukan oleh Firdaus Abdullah dalam sajaknya "Patricia Takemoto":

bagai wajah anak kecil
yang manis dan montel
menakjubkan dalam khayalan
tetapi Patricia Takemoto lebih dari itu

(d). Kata pemeri:
(i) Kata pemeri 'ialah' hadir di hadapan frasa nama;
(ii) kata pemeri 'adalah' hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama;
(iii) pada amnya, kedua-dua kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi.
Contoh penyimpangan: Perhatikan kesilapan penggunaan kata pemeri "adalah" dalam ayat-ayat yang berikut (dari puisi Usman Awang, "Anak Jiran Tionghoa", puisi A. Samad Said, "Obor Hemah", dan puisi Rahman Shaari, "Bahasa"). Penyimpangan seumpama ini sering kali diterima sebagai "gaya" dalam puisi:

jantung mereka adalah langitmu,
darah mereka adalah sungaimu,
nafas mereka adalah udaramu.

Guru adalah awan indah terbang rendah
Guru adalah penelaah yang tekun
Guru adalah batin suci hati nurani

Bahasa adalah pengatur
pucuk fikiran yang bertabur
bahasa adalah pelentur
ranting perasaan yang bersinar

Perhatikan bagaimana Muhammad Haji Salleh menggunakan kata pemeri dengan betul (warna hijau) dan dengan penyimpangan (warna merah) pada bait yang sama dalam puisinya "Unggulku":

Unggul ini
ialah kesegalaanku
Tak ada tawar-menawar
pada sifat atau dirinya.
kerana ia adalah
kemurnianku

(e) Penggunaan kata ganti nama "ia" untuk bukan manusia adalah juga kesalahan tatabahasa yang ditemui dalam puisi (mungkin dapat diwajarkan sebagai personifikasi):

Kemalangan sering lalu
dan menjeling penuh nafsu
ia kenal betul akan kelalaian
ia kenal betul akan kealpaan

(Dari puisi Rahman Shaari, "Kemalangan Tiba, Indah").

(f) Kata "belati", menurut Kamus Dewan, ialah kata sastera lama yang bermaksud "datang dari (atau di buat di) negara asing". Misalnya, pisau belati = sejenis pisau buatan Eropah; tali belati = tali buatan Eropah. Kata ini lazim (dan kerap kali secara klise), digunakan dalam puisi untuk membawa pengertian pisau (lazimnya dengan konotasi negatif). Misalnya, dari puisi Hashim Yaacob, "Tamu Semalam" dan puisi Irwan Abu Bakar, "Pisau Belati Runcing Tajam":

Ditinggalkannya padaku
sebilah belati
tercacak pada hati.

lalu belati pun menghiris luka hati pasangannya, menghiris luka hati anak-anaknya, dan menghiris luka hati semua yang disayanginya

Malah, seawal tahun 1958, Noor S.I., dalam salah sebuah sajaknya yang paling berjaya "Senja", telah menulis:

...
ombak menempa di pantai. Dan hatinya di pasir
terbenam sebilah belati di dada berdarahlah setahun.

(g) Kata "durja" bermaksud muka atau air muka, seperti dalam ungkapan "bermuram durja" yang bermaksud bermasam muka atau bermuram. Kata ini tidak dapat digunakan sebagai sinonim kepada kata "durjana" yang bermaksud jahat atau derhaka.

(h) Kadang-kadang penyimpangan dilakukan dengan sengaja dan penuh sedar oleh penulis demi menghasilkan ungkapan yang baru dan segar. Penyimpangan disengajakan yang dilakukan oleh penulis (yang memang memahami peraturan tatabahasa yang betul) adalah diterima dalam puisi jika membawa pembaharuan pengucapan. Sebagai contoh, perhatikan penggunaan akhiran -lah, -kah, dan -kan dalam ungkapan puisi Wan Ahmad Tajuddin, "Tanah Syahdu", "Nurjannah.3", dan "Diakan Lebih Uban?", seperti yang berikut:

Yang basah itu
-lah semalam.

...
dewasa. Dewasa
-kah atau yang perlu belajar dari
mereka tiada pagar
dari satu ke yang satu.

Dunia stabilkah kaufikir, tanyanya
aku cuma ternganga cuba mengata
-kan sesuatu yang berintelek

[Kembali ke 8(2)(5)]

 


14(1)(2). Kesilapan dari segi lojik merujuk kepada kesilapan fakta.
Contoh:

ia (ayam betina) bertelur sebiji sebulan
dan tetap bertelur
walaupun tiada jantan

Ungkapan (dari "Kintalo dengan Telur Emas" oleh Rahman Shaari) ini memberi gambaran seolah-olah ayam betina tidak akan bertelur jika tiada jantan; padahal ayam betina memang tidak memerlukan jantan untuk bertelur.

 


14(2). Kelemahan Umum
Kelemahan umum ialah kelemahan pada karya kerana penggunaan dan penyusunan kata-kata secara tidak kemas lantas menghasilkan pengucapan yang tidak berkesan.

 

14(2)(1). Pengucapan yang tidak padat
Salah satu ciri utama puisi yang membezakannya dengan karya prosa ialah kepadatan pengucapannya. Puisi mengelakkan penggunaan perkataan yang berlebihan dan yang tidak perlu. Maka semasa kerja pengeditan, proses "trimming" (merapih) merupakan suatu kegiatan yang penting dalam menghasilkan puisi yang bermutu. Contoh:

(a) penggunaan ungkapan "burung camar" dan "pokok cemara" tidak dianggap stail yang baik kerana kata-kata "camar" dan "cemara" sudah membawa makna yang sempurna.

(b) penggunaan kata-kata yang sama makna pada suatu ungkapan, misalnya "harum wangi" dianggap pengucapan yang lemah; gaya bahasa ini disebut kelewahan atau "redundancy".

(c) penambahan maklumat yang telah sedia jelas juga dapat dianggap lewah (dan lemah):

Aku terima sepucuk surat
daripadamu
yang kauhantar seminggu berlalu
baru tiba dikirim kemas-kemas

oleh lelaki posmen

Ungkapan "oleh lelaki posmen" dianggap lewah kerana telah jelas surat harus dihantar oleh posmen. (Contoh dari sajak Faisal Tehrani, "Sepucuk Surat Berisi Revolusi").

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


 

15. Keindahan Puisi
Puisi dicirikan terutama oleh nilai estetika. Maka ciri utama yang ada pada puisi yang baik ialah keindahannya.

 


15(1). Puisi menjadi indah apabila wujud keseimbangan isi dengan bentuk. (a) Bahasa yang terlalu berbunga-bunga sedangkan isinya remeh-temeh tidak menghasilkan keindahan. (b) Bahasa yang kering untuk isi yang penting juga tidak menghasilkan keindahan.

 


15(2). Melahirkan Keindahan dalam Puisi
Gaya digunakan untuk melahirkan keindahan. Antara gaya bahasa yang sering digunakan untuk mendapatkan keindahan termasuklah (a) diksi (hiperbola, hibrid, inversi, ironi, paradoks), (b) pengulangan (aliterasi, asonansi, anafora, epifora, irama, rima), (c) perbandingan (alusi, kiasan, metafora, simile), (d) imej, (e) lambang, dan (f) personifikasi: Lihat Modul 11.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


16. Sajak Kabur
Pada amnya, sajak dikatakan kabur apabila isi kandungannya amat sukar untuk dikonkretisasi oleh pembaca. Penulisnya "membawakan bentuk pengucapan yang sukar dimengerti, yang mendorong pembaca ke arah berfikir yang teliti dan serius, dan sekali gus mencabar daya keintelektualan mereka". (Ungkapan dalam tanda "..." dipetik daripada Rujukan Tambahan 3.)

 


16(1). Kenapa sajak menjadi kabur?
Sebab utama sajak menjadi kabur ialah penggunaan lambang yang bersifat terlalu peribadi, lihat submodul [8(1)(1)(1)].

 


16(2). Orang Bertiga dengan Puisi Kabur
Sajak kabur biasanya dikaitkan dengan tiga orang penyair yang berikut: Noor S.I., A.S. Amin, dan M. Ghazali. Penyair Noor S.I. (nama sebenar Ismail bin Haji Omar, lahir 1933) yang memulakan penulisan sajak kabur pada tahun 1955 dianggap pelopornya.

 


16(2)(1). Karya tiga orang penyair ini ada dikompilasikan dalam buku yang berikut:
Pyan Husayn dan Suhaimi Haji Muhammad (Penyelenggara). Orang Bertiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980. Contoh: Noor S.I. ("Sayup"), M. Ghazali ("Embun").

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


17. Sajak Intelektual
Sajak intelektual ialah sajak yang mengandungi pemikiran yang mendalam dan tinggi (mungkin bertaraf falsafah).

 


17(1). Penyair tempatan yang sering dikaitkan dengan sajak intelektual ialah SN Muhammad Haji Salleh. Namun label ini yang diberikan kepada penyair itu dipertikaikan oleh sesetengah pengkaji.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


18. Puisi dan Komputer
Kemudahan komputer dapat membantu penyair dari aspek-aspek (a) pengeditan dan (b) menyertai kegiatan di Internet.

 


18(1). Pengeditan
Draf pertama puisi dapat dipindahkan ke komputer mahupun ditaip terus ke dalam komputer. Selepas itu, pengeditan berulang-ulang kali dapat dilakukan dengan amat mudah. (Butiran lanjutan tentang proses pengeditan puisi dibincang dalam Lampiran 5.)

 


18(2). Kegiatan di Internet
Komputer dapat disambungkan ke Internet melalui talian telefon. Penyambungan itu dapat dilakukan dengan menghubungi salah satu pembekal perkhidmatan Internet, misalnya Mimos (Jaring) dan Telekom Malaysia (TMNet). Setelah komputer tersambung ke Internet, penulis boleh melibatkan diri dengan aktiviti berpuisi di alam siber: Lihat Modul 19.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


19. Puisi dan Internet
Kemudahan Internet telah memungkinkan puisi disebarkan secara meluas (ke seluruh dunia) dan diterbitkan secara serta-merta.

 


19(1). Ciri-ciri Utama Puisi di Internet
Puisi di Internet, pada amnya, dicirikan oleh perkara-perkara yang berikut:
(a) penerbitan tanpa penilian atau tapisan oleh pihak kedua (yang pakar) terlebih dahulu.
(b) Kerapkali bersifat dinamik, iaitu sentiasa diedit oleh penulisnya.

 


19(2). Kegiatan berpuisi di Internet dapat dilakukan dari beberapa tempat, misalnya dari rumah, dari pejabat (dengan restu majikan), dan dari warung-warung siber (cyber cafe).

 


19(2)(1). Berpuisi di Internet dari Rumah Sendiri
Hal ini dapat dilakukan hanya jika anda memiliki sebuah komputer, dan telah menyediakan infrastruktur untuk menyambungkan komputer itu ke talian Internet.

 


19(2)(2). Berpuisi di Internet dari Pejabat
Pejabat lazimnya mempunyai sambungan Internet. Namun menggunakan kemudahan fizikal dan waktu kerja di pejabat untuk kegiatan berpuisi tidak beretika. Pastikan anda mendapat kebenaran/restu majikan terlebih dahulu. Namun sekiranya tugas anda memang secara langsung berkenaan dengan bidang ini, maka kegiatan berpuisi dapat dilakukan dari pejabat.

 


19(2)(3). Berpuisi di Internet dari Cyber Cafe
Kaedah paling murah dan praktikal untuk bergiat dengan puisi di Internet ialah dengan menggunakan kemudahan di warung-warung siber. Anda tidak perlu memiliki sebuah komputer dan tidak perlu melanggan sambungan Internet sendiri. Anda hanya perlu tahu menggunakan komputer dan mengakses Internet. Kos yang terlibat adalah murah, biasanya antara RM2 dengan RM3 sejam. (Jika masa yang digunakan kurang daripada satu jam, maka bayaran akan dikurangkan secara berkadaran). Namun anda perlu menyusun waktu yang sesuai untuk anda dan anda hanya boleh bergiat semasa warung siber beropersi. Dari segi kekerapan, dicadangkan sekurang-kurangnya dua minggu sekali (sesi satu jam setiap lawatan). Seminggu sekali boleh dianggap cukup baik.

 


19(3). Laman-laman web puisi Melayu dapat dicari di Internet melalui kemudahan "search" yang tersedia.

19(3)(2). Pencarian dapat dilakukan pada laman http://www.yahoo.com. Pada hari ini, pencarian di laman itu dengan menggunakan kata kunci "puisi" akan membawa kepada enam sukses (penemuan). Pencarian dengan menggunakan kata kunci "sajak" akan membawa kepada 21,800 penemuan (walaupun bukan semuanya relevan dengan puisi Melayu).

19(3)(3). Pencarian boleh juga dilakukan dari laman http://www.communityzero.com untuk laman yang berbentuk "komuniti" (banyak interaksi antara pelawat).

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


20. Puisi Siber
"Puisi siber" amat relevan dengan era ICT (teknologi maklumat dan komputer) sekarang ini.
 


20(1). Apakah puisi siber?
Pada amnya, dua perkara dapat ditegaskan di sini:
(a) Puisi siber yang sebenar berbeza dengan "puisi biasa", walaupun puisi biasa itu disiarkan di alam siber; dan
(b) Puisi siber ialah puisi yang 'direka bentuk' (bukan semata-mata 'ditulis') dengan menggunakan kemudahan ICT; maka puisi siber harus bersifat multimedia (mengandungi teks, animasi, dan bunyi) dan interaktif (menyediakan kemudahan untuk pembaca memberi rangsangan dan puisi itu pula memberi sambutan aktif terhadap rangsangan pembaca itu).

 


20(2). Puisi Siber Primitif
Pada hari ini ramai penyair yang menerbitkan puisi mereka di Internet. Namun puisi itu lazimnya ialah puisi biasa, dan tidak langsung mempunyai ciri-ciri dokumen alam siber seperti beranimasi, multimedia (audio, video, grafik, dsb), dan interaktif. Malah kebanyakannya tidak pun berwarna-warni, tetap dengan cetakan hitam atas latar belakang putih. Cuma medium penerbitannya sahaja yang moden dan canggih. Oleh sebab diterbitkan di alam siber, puisi-puisi ini dapatlah dinamai "puisi siber primitif".

 


20(3). Puisi dengan animasi, warna-warni, dan audio (puisi AWA) ada diterbitkan di Internet. Misalnya, di e-majlah "e-sastera" ditermui uisi-puisi AWA yang berikut: "Selamat Pagi, Malam" oleh Irwan Abu Bakar, "Tikus dan PoliTIKUS" oleh Erwin Khairul Ahmad, dan "Mantera Bush dan Saddam" oleh Gravesdigger (atau Hata Gazali).

20(4). Kita tidak akan memperkatakan puisi siber dengan lebih lanjut dalam kursus ini kerana perkara ini ialah perkembangan baru yang belum meluas pengaruhnya.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


21. Plagiarisme dan Pengaruh
'Plagiarisme' dan 'pengaruh' merupakan dua konsep yang melibatkan keserupaan antara karya penulis dengan karya orang lain yang terdahulu.

 


21(1). Memplagiat = meniru karya orang lain dan mengaku sebagai karya asli sendiri. (Peniruan yang disertakan pengubahsuaian yang sedikit dan tidak signifikan juga dikira sebagai plagiarisme.)

 


21(1)(1). Plagiarisme ialah suatu kesalahan yang berat dalam sastera. Malah plagiarisme sering dikatakan sebagai jenayah sastera.

 


21(1)(2). Jangan lakukan plagiarisme, atas alasan apa sekalipun.

 


21(2). 'Pengaruh' merujuk kepada peniruan gaya penulisan atau peniruan bentuk karya. Hal ini kadang-kadang disengajakan dan kadang-kadang berlaku secara kebetulan (akibat banyak membaca atau merujuk kepada sesuatu kumpulan karya yang terdahulu). Tidaklah menjadi masalah sastera jika karya seseorang penulis dipengaruhi oleh karya penulis terdahulu.

 


21(3). Masalah 'plagiarisme' dan 'pengaruh' kadang kala menghantui penyair mapan juga. Sajak popular penyair mapan Masuri S.N., "Ini Nasi Yang Kusuap", dianggap sesetengah pengkaji sebagai bermasalah apabila dibandingkan dengan sajak Inggeris "This Bread I Break" oleh Dyland Thomas.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


22. Penterjemahan Puisi
Puisi ditulis dalam bahasa tertentu. Pemikiran dan kreativiti penyair dapat disampaikan kepada masyarakat yang tidak memahami bahasa itu dengan melakukan penterjemahan. Karya terjemahan yang dihasilkan sendiri oleh penulis asal puisi itu dianggap karya aslinya dalam bahasa yang kedua itu.

22(1). Laman web yang berikut menyiarkan puisi Melayu yang telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris:
http://www.communityzero.com/poets. Laman web ini ialah sebahagian daripada majalah "e-sastera".

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


23. Deklamasi Puisi

 


23(1). Deklamasi ialah penyampaian puisi secara pengucapan (lisan).

23(2). Bukan semua puisi sesuai dideklamasikan. Puisi yang sesuai dideklamasi dikatakan bersifat 'deklamatori'.

 


23(3). Pada hari ini, kadangkala muzik digunakan untuk mengiringi deklamasi, sama ada secara permainan muzik "minus one" atau secara permainan "live" alat-alat muzik tradisional dan/atau moden. Kadangkala persembahan juga diiringi tayangan multimedia.

 


23(4). Lagu puisi ialah lagu yang menggunakan puisi tertentu sebagai liriknya. (Definisi alternatif: Puisi yang dinyanyikan dengan melodi yang dicipta khas untuknya).

 


23(5). Deklamasi puisi memerlukan kebolehan dan latihan serius. Menghafaz puisi yang akan dideklamasi ialah amalan yang baik.

 


23(6). Pada hari ini, deklamasi puisi kadang-kadang dibuat secara persembahan teater (termasuk silat dan wayang kulit yang dipelopori oleh Hashim Yaacob).

 


23(7). Pada hari ini, satu-satunya penyair Malaysia yang mengkaji dan menulis tentang deklamasi ialah Rahman Shaari.

23(7)(1) Artikel yang berikut mewakili pemikiran Rahman Shaari tentang deklamasi puisi dan eloklah dibaca:

Rahman Shaari. "Deklamasi yang Baik dan Berkesan", Dewan Sastera, Mac 1996.

Sepuluh pemikiran utama Rahman tentang hal ini adalah seperti yang berikut:

(a) Deklamasi janganlah dipenuhi tempikan yang tidak beralasan. Mendeklamasi sajak bukan perlawanan untuk mencari juara tempikan.

(b) Gerakan yang berlebih-lebih di atas pentas bukanlah cara deklamasi yang elok.

(c) Penggunaan suara tinggi hendaklah sesuai dengan tema. Pendeklamasi hendaklah pandai menerbitkan suara dalam perut, dan membina suara serak yang bertolak dari dalam perut. Suara dalam perut amat berharga, dan suara dalam dada hanya berupaya menerbitkan kesan permukaan.

(d) Perlakuan aneh yang ditonjolkan semasa mendeklamasi bukanlah sesuatu yang dikehendaki.

(e) Pendeklamasi mesti berlatih dengan bersungguh-sungguh walaupun deklamasi bukan untuk sayembara. Kebanyakan orang memerlukan latihan sekurang-kurangnya seminggu.

(f) Pendeklamasi perlu mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap bidang ini.

(g) Deklamasi perlu berpusat kepada teknik, gaya, nada, dan suara.

(h) Pendeklamsi perlu mempunyai sikap menghormati penonton demi mengakrabkan pendeklamasi dengan penonton.

(i) Pendeklamasi perlu mempunyai keyakinan diri demi menghasilkan persembahan yang bergaya. Pendeklamasi yang berbuat perkara yang pelik-pelik semata-mata untuk menimbulkan gimik murahan di atas pentas, bukanlah orang yang yakin terhadap keupayaannya.

(j) Persembahan mesti menepati makna sajak yang dideklamasi demi mengemukakan persembahan deklamasi yang baik dan berkesan.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


 


24. Anugerah
Beberapa anugerah ada ditawarkan untuk puisi yang diterbitkan.

 


24(1). Pada peringkat antarabangsa (puisi bahasa Inggeris), ada beberapa anugerah disediakan orang. (a) anugerah Pulitzer ialah anugerah paling berprestij. (b) The International Society of Poets yang berpusat di USA, menawarkan anugerah "Poet of the Year" untuk penyair amateur yang menerbitkan puisi di laman web poetry.com.

 


24(2). Di Malaysia, ada beberapa anugerah ditawarkan untuk puisi yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.

 


24(2)(1). Anugerah tempatan paling berprestij ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia setiap dua tahun kepada antologi dan karya eceran. Anugerah ini mulanya dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (1971-1976) dan ditukar kepada Hadiah Sastera Malaysia (1981-1995). Hadiah diperkenalkan dengan tujuan memberi pengiktirafan kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu serta menggalakkan penerbitan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.

 


24(2)(2). Satu lagi anugerah tempatan ialah anugerah Utusan untuk karya yang diterbitkan dalam penerbitan Utusan Melayu.

 


24(2)(3). Komuniti-Pada-Talian "Penyair"
(a) Komuniti "Penyair" Alam Siber (http:// www. communityzero.com/ penyair) menawarkan hadiah Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) pada tahun 2002. Anugerah ini dipercayai pengiktirafan tempatan yang pertama diberi kepada karya yang diterbitkan di Internet.
(b) Komuniti ini juga menawarkan hadiah Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2002 (ASJAS 2002) melalui laman web http:// www. communityzero.com/ sajen.

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


25. Puisi dan Agama Islam
Penganut agama Islam sentiasa merujuk semua kegiatannya kepada ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad saw. Hal yang sama perlu dilakukan dalam melakukan kegiatan berpuisi.

 


25(1). Ayat al-Quran yang berikut adalah relevan dengan kegiatan puisi:
"Dan penyair-penyair itu dituruti oleh golongan yang sesat... Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri setelah mereka dianiaya..." (Surah asy-Syu'ara 224-7).

 


25(2). Hadith yang berikut adalah relevan dengan kegiatan berpuisi:
"Seorang mukmin berjuang dengan pedang atau lisannya. Demi Allah, apa-apa syair yang kamu lemparkan kepada mereka (pihak musuh) sebenarnya seperti hujung tombak yang sangat tajam." (Hadith riwayat Ahmad).

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


26. Kegiatan Kritikan dan Pengulasan
26.1 Kegiatan kritikan karya ialah suatu kegiatan produktif bernilai seni. Kritikan bukannya kegiatan negatif “menghentam” karya orang lain.

26.2 Membuat kritikan mendalam terhadap puisi (dinamai kritikan imiah) memerlukan ilmu kritikan yang cukup. Sebaik-baiknya, biarlah seseorang itu mendapat pendedahan ilmu dari pakar sebelum melibatkan diri dalam bidang ini.

26.2.1 Sebagai pendedahan permulaan, sila baca artikel yang berikut:
Othman Puteh. "Menelusuri Ciri-Ciri Kritikan Sastera", Dewan Sastera, April/Mei 1999.

26.2.2 Dalam artikel yang dinyatakan dalam submodul 26.2.1, Othman Puteh mencirikan kritikan sastera di Malaysia kepada enam ciri:
(a) Kritikan Sanjungan
(b) kritikan Teguran
(c) Kritikan Saranan
(d) Kritikan Pendekatan: (Menghuraikan enam daripada pelbagai pendekatan kritikan kesusasteraan yang berkembang di Malaysia, iaitu pendekatan intrinsik, pendekatan ekstrinsik, pendekatan moral, pendekatan psikologi, pendekatan sosiologi, dan pendekatan arkitaip.)
(e) Kritikan Penganalisisan
(f) Kritikan Penilian.

26.3 Kegiatan “mengulas” puisi dapatlah dianggap kegiatan yang lebih ringan dan dapat dilakukan dengan lebih mudah. Tulisan kritikan yang merupakan reaksi sepintas lalu ini sering dinamai kritikan impresionistik, kritikan jurnalistik, atau resensi.

26.4 Kegiatan mengulas puisi, pada amnya, dapat dibahagikan kepada dua komponen yang berikut:
(a) Menghurai; dan
(b) Menilai

26.4.1 Perhatikan bahawa puisi berkomunikasi dengan pembaca berdasarkan apa yang dapat difahami pembaca daripada sajak itu, bukannya apa yang ada dalam pemikiran penulisnya sewaktu menulis sajak itu.

26.4.2 Menghurai puisi melibatkan:
(a) penghuraian makna yang dapat ditafsirkan OLEH PENGULAS daripada teks, dan
(b) penjelasan tentang ilmu yang dapat ditimba daripadanya

26.4.3 Kegiatan menghurai makna puisi bukanlah kegiatan “meneka” apa yang dimaksudkan oleh penulisnya melalui puisinya. Malah ada beberapa banyak sajak yang bersifat polos, dan kegiatan “meneka” dan menghurai apa yang dimaksudkan oleh penulisnya ialah kegiatan sia-sia dan membuang masa.

26.4.4 Menilai puisi melibatkan:
(a) mengenal pasti kekuatannya;
(b) mengenal pasti kelemahannya; dan
(c) mencadangkan pembaikan yang dapat dilakukan.

26.5 Pada amnya, ulasan terhadap sesebuah puisi dibuat berasaskan aspek-aspek yang berikut:
(a) tema dan isu
(b) huraian maknanya (secara ringkas jika sajak sedia polos)
(c) bentuk
(d) rima
(e) bahasa
(f) nada
(g) makna perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan tertentu. (Penanganan ini lebih merujuk kepada makna konotatif dan nilai emosinya).

26.5.1 Contoh penghuraian (sajak hanya khayalan) adalah seperti yang berikut:
(a) Tema dan isu: “Isu yang diutarakan oleh sajak ini ialah tentang kasih sayang seorang guru terhadap muridnya”.
(b) Huraian makna: “(1) Guru itu telah berkorban untuk anak-anak muridnya. Maka anak-anak muridnya menganggap guru itu manusia paling berjasa kepada mereka. (2) Guru itu telah berkorban secara tidak terhad sehingga hidup peribadinya sendiri terjejas. (3) Anak-anak muridnya memberikan penghormatan yang amat tinggi sehingga nilai diri guru melonjak naik dan mendapat ganjaran positif daripadanya”.
(c) Bentuk: “Sajak ini terbina daripada tiga rangkap. Rangkap-rangkap itu berlainan bentuk. Rangkap pertama menyerupai syair sementara dua rangkap lagi berbentuk benar-benar bebas. Maka bolehlah dikatakan bahawa bentuk sajak ini separa bebas.”
(d) Rima: “Rima akhir rangkap pertama ialah aaaa. Rima akhir rangkap kedua dan ketiga masing-masing ialah abacda dan acbb”.
(e) Bahasa: “Bahasa sajak ini mudah tetapi amat estatik. Ada perulangan kata yang menarik seperti “pengorbanan” dan “penghargaan”. Ungkapan seperti “tidaklah air tercurah ke daun keladi” benar-benar memberi tenaga kepada sajak ini dan seterusnya meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.”
(f) Nada: “Sajak ini bernada sentimental dan romantis. Ada unsur ketegasan dan berterus terang.”
(g) Makna ungkapan: “Ungkapan ‘berdiri selari’ dalam sajak ini bermaksud samanya matlamat antara guru dengan murid.”

26.5.2 Ulasan yang dibuat secara teratur seperti disenaraikan dalam subsubmodul 26.5.1 itu akan menghasilkan tulisan yang berstruktur dan kemas. Namun banyak juga ulasan yang dibuat secara tidak berstruktur tetapi tetap merangkumi aspek-aspek yang disenaraikan itu.

26.6 Ada kalanya, ulasan perlu dibuat terhadap sebilangan puisi dan bukannya sebuah puisi tertentu. Dalam hal yang sedemikian, kerap kali pengulas memilih sesuatu aspek tertentu lalu menganalisis kesemua puisi itu dari aspek yang tersebut. Misalnya:
(a) T. Alias Taib, apabila mengulas 10 buah puisi yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera keluaran November 2002, telah memilih aspek “suara asli penyair” sebagai tema lalu mengulas kesemua 10 puisi yang berkenaan berasaskan tema itu; dan
(b) Rahman Shaari, puisi-puisi Dewan Sastera Ogos 2002, memberi tumpuan kepada “mencari yang cemerlang” demi mengenal pasti puisi yang terbaik antara puisi-puisi yang ditanganinya itu.

26.7 Sajak lazimnya dapat ditafsirkan dengan cara yang pelbagai oleh pembaca. Hal inilah yang menjadikan sajak itu item seni. Maka, pada amnya, penyair tidak wajar menghurai dan menilai karyanya sendiri. Perbuatan ini akan "membekukan" makna sajaknya sehingga tidak dapat lagi diulas secara sembarangan oleh orang lain. Apabila pembaca tidak dapat lagi mengaplikasikan kreativitinya untuk menghuraikan makna sesebuah sajak, hilanglah nilai seni karya itu.

26.8 Contoh Praktikal
Sebagai contoh praktikal ulasan sajak, sila lihat Lampiran 7. Lampiran ini memberikan tiga ulasan daripada tiga orang penulis yang berlainan terhadap sajak "Menolak Rezeki" karya Irwan Abu Bakar. Sajak itu telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera, April 2003. Ulasan itu telah disiarkan di komuniti "Penyair" majalah e-sastera.

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


27. Licentia Poetica
27.1 (Inggeris: "poetic licence"). "Lesen puitis" merujuk kepada kebebasan yang "dimiliki" penyair untuk melakukan penyimpangan terhadap peraturan-peraturan bahasa yang mapan demi memperoleh kesan puitis dalam karyanya.
27.2 Penyair diingatkan bahawa penyimpangan daripada tatabahasa tidak harus dilakukan tanpa alasan estetika. Menurut Rahman Shaari, "penyimpangan diizinkan hanya setelah nilai estetika terjamin hasil penyimpangan itu".
27.3 Lesen puitis ini tidak boleh digunakan untuk mewajarkan kesilapan tatabahasa yang rutin.

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


Lampiran

Lampiran 1. Nama Bentuk Puisi Dari Segi Bilangan Baris
Lampiran 2. Penyair Bahasa Melayu
Lampiran 3. Beberapa Buah Sajak Pilihan
Lampiran 4. Budaya Bahasa: Suatu Kursus Ringkas
Lampiran 5. Menyemak Semula Tulisan Anda
Lampiran 6. Ayat: Suatu Kursus Asas
Lampiran 7. Ulasan Sajak "Menolak Rezeki" karya Irwan Abu Bakar

 


Lampiran 1. Nama Bentuk Puisi Dari Segi Bilangan Baris
Nama bentuk puisi dari segi bilangan baris (pada setiap rangkapnya) adalah seperti yang berikut:
Distikhon = 2 baris
Terzina = 3 baris.
Kuatren = 4 baris.
Quintain = 5 baris.
Sextet = 6 baris.
Septet = 7 baris.
Oktaf = 8 baris.
Soneta = 14 baris (terdiri daripada 4 rangkap, dengan bilangan baris dalam rangkap-angkapnya ialah 4, 4, 3, dan 3).

[Kembali ke Permulaan Lampiran]

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]


 


Lampiran 2. Penyair Bahasa Melayu
Antara penyair mapan Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu adalah seperti yang berikut:
Affrini Adham (lahir: 1927), Usman Awang (Allahyarham, l: 1929), Suhaimi Haji Muhammad (l: 1934), A. Samad Said (l. 1935), Dharmawijaya (l. 1937), Jihaty Abadi (Allahyarham, l. 1938), Nahmar Jamil (l. 1938), Baha Zain (l. 1939), A. Wahab Ali (l. 1941), Kemala (l. 1941), Latif Mohidin (l. 1941), Muhammad Haji Salleh (l. 1942), Ahmad Sarju (l. 1942), A. Ghafar Ibrahim (l. 1943), T. Alias Taib (l. 1943), Rahman Shaari (l. 1949), Siti Zainon Ismail (l. 1949), Zurinah Hassan (l. 1949), Lim Swee Tin (l. 1952), Moechtar Awang (l. 1956).

[Kembali ke Permulaan Lampiran]

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]


 


Lampiran 3. Beberapa Buah Sajak Pilihan
Di sini diperturunkan beberapa buah sajak pilihan untuk panduan dan renungan.

 


L3(1) "Angan-angan Dengan Gurindam" oleh Omar Mustaffa

Bangkitlah bangkit!
Mengapa tidur lama sangat?
Di mana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita?
Timah dimasak sudahlah hangat.
... (ini bait pertama sahaja; ada sambungannya).

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


L3(2) "Di Tengah Senggara" oleh Punggok

Di dalam gelombang hambur-menghambur
Kudengar seru sayup bahasa
Hatiku lebur bagaikan hancur
Hendak kurenang beta tak bisa

Tuan mengeluh menanggung nestapa
Kudengar turut sama bersedih
Meski kurenang takkan berjumpa
Segara berpuaka - teluk beralih

Dengar sahaja doa kupohonkan
Kepada Allah Yang Maha Kaya
Allah menolong jiwa telapakkan
Sampai ke tepi selamat bahagia.

Majalah Guru, Th.x, Disember 1933

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


L3(3) "Sayup" oleh Noor S.I.

Cermin bintang dara
sentuhan kembara
lalu terkena.

Manis bulan
basah penghidupan
karat pisau di pinggang
hidup nan luang.

Kawan menyentuh dara
hamillah dunia noda.

1958-59
Rakaman Roh, 1963.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


L3(4). "Embun" oleh M. Ghazali

Embun hatinya berkaca
kejauhan paginya
embun hatinya berkata
ia diliputi senja.

Dadanya ada embun
tapi bukan untuknya.

Embun hatinya berkaca
dingin embun dinoda.

Kuala Lumpur, 5 Mac 1959.
Bunga Merah, 1977.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


L3(5). "Kefanaan" oleh Muhammad Haji Salleh

sepanjang pantai esphanol
portugal berbau kesepian
disenyapkan oleh kabut
yang enggan pergi tengah hari.

aku duduk di longgok batu,
jauh dari pantai
tenggelam dalam kapas kabus.
suara laut taram
dan bau kejauhan
menolaknya ke air.

inilah kefanaan.

esphanol

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


L3(6) "Pengemis" oleh T. Alias Taib

dari tubuhnya
merangkak kehidupan
bagai seekor siput
mencari sehelai daun.

dari peluhnya
terpercik harapan
bagai sekelopak bunga
menanti fajar pagi.

dari keluhnya
terkumpul debaran
bagai gemuruh jeram
menangisi kabut hutan.

dalam matanya
berkocak keharuan
bagai perahu tua
kematian angin.

dalam suaranya
mengalir kesedihan
bagai anak sungai
kehilangan muara.

dalam dadanya
menetes kesalan
bagai mendung hitam
ketibaan hujan.

[Kembali ke Senarai Kandungan]
Kembali Ke Indeks

 


L3(6) "Kebebasan" oleh Rahman Shaari

Kebebasan memilih
telah kauajukan aku ke sini
meyakinkan akalku mengerti
makna diri.

tapi bagaimana
perjalanan panjang lorong-lorong bersilang
sedang pergikah aku atau pulang?

Jalan ini katamu jalan semalam
tapi likunya berganti
dan sungai beralih haluan
aku jugalah kurang sedia
memahami perubahan.

biarlah aku di sini
berteduh mengeluh di bayang kebosanan
sambil menghitung waktu lepasku
oleh kebebasan.

Selangor, 25 Januari 1976.

[Kembali ke Permulaan Lampiran]

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


Lampiran 4. Budaya Bahasa: Suatu Kursus Ringkas
Pengetahuan tentang budaya bahasa Melayu dapat membantu dalam penulisan puisi yang berkesan.
 


L4(1). Budaya bahasa lazimnya dilihat daripada lima aspek, iaitu (a) neka bahasa, (b) laras bahasa, (c) retorik, (d) ragam bahasa, dan (e) kesantunan bahasa.

 


L4(2). Neka Bahasa
Neka bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa mengikut konteksnya, iaitu (a) bahasa formal, (b) bahasa tak formal, (c) bahasa halus, dan (d) bahasa istana.

 


L4(3). Laras
Laras bahasa merujuk kepada penggunaannya dalam bidang ilmu atau dalam perhubungan moden.

L4(3)(1). Laras biasa ialah penggunaan bahasa yang tidak melibatkan sebarang bidang ilmu atau konteks khusus.

L4(3)(2). Contoh laras bahasa ialah laras perniagaan, laras akademik (sains dan teknikal), laras undang-undang, laras media massa, dan laras sastera.

 


L4(4). Retorik
Retorik ialah seni penggunaan bahasa. Hal ini melibatkan penyampaian atau pengungkapan fakta dan idea dengan bahasa yang berkesan dan menarik. Teknik pengungkapan ini dibahagikan kepada tujuh jenis, iaitu:
(a) pemerian (penjelasan, penakrifan, panduan atau huraian sesuatu perkara);
(b) cerita (peristiwa yang dikisahkan dengan gaya tertentu; esei bercorak naratif);
(c) hujah (bukti, alasan, atau keterangan);
(d) khutbah (nasihat keagamaan yang mementingkan dalil-dalil sahih);
(e) nasihat (memujuk orang untuk melakukan perkara baik);
(f) penerangan (penjelasan tentang perkara yang diterangkan); dan
(g) pujukan (rayuan dengan matlamat menyerahkan kuasa si pembujuk kepada orang yang dipujukinya).

 


L4(5). Ragam Bahasa
Ragam bahasa merujuk cara pengungkapan diolah untuk menyesuaikannya dengan tujuan sesuatu fakta atau keterangan hendak disampaikan.

L(4)(5)(1). Ada 16 ragam utama yang telah dikenal pasti bagi bahasa Melayu, iaitu (a) bahasa sindiran, (b) bahasa giat, (c) bahasa ejek, (d) bahasa terbalik, (e) bahasa merajuk, (f) bahasa tempelak, (g) bahasa herdik, (h) bahasa melampau, (i) bahasa naik, (j) bahasa turun, (k) bahasa ingkar, (l) bahasa seruan, (m) bahasa ulang, (n) bahasa bertimbal, (o) bahasa nafi, dan (p) bahasa jenaka.

L(4)(5)(2). Dalam istilah puisi moden, ragam bahasa dinamai "gaya". Istilah-istilah moden yang dikaitkan dengannya diberikan dalam Modul 11.

 


L4(6). Kesantunan Berbahasa
Kesantuan merujuk kepada strategi penggunaan gelaran, sapaan, dan ganti nama untuk menunjukkan hormat.

L4(6)(1). Penggunaan kesantunan ada beberapa peringkat: (a) biasa (aku, awak, makcik, saudara), (b) hormat (Encik, Puan, Yang Berusaha, Yang Berhormat), (c) diraja (Tuanku, baginda, patik), (d) halus (jenazah, allahyarham, arwah), dan (e) mesra (nama timangan: Man, Sal, Ayu; nama sendiri: Ramli, Normah; ganti nama: adik, abang, uda, along).

[Kembali ke Permulaan Lampiran]

 


Lampiran 5. Menyemak Semula Tulisan Anda

Inspirasi ialah sesuatu yang melintas lalu: mana-mana penulis mengetahuinya. Untuk memastikan bahawa perasaan, idea, atau kata yang "sempurna" itu tidak menghilang selama-lamanya, biasanya kita akan menyambar sehelai kertas paling hampir dengan kita dan menuliskan pemikiran kita. Ya, pada ketika itu, kita telah menulis sebuah puisi. Namun tidak semestinya kita telah menulis sebuah puisi yang baik.

Kita cenderung untuk berkata, "Ah, inilah yang aku rasai, maka inilah yang aku tuliskan. Aku tidak boleh menyemak kembali perasaanku." Memanglah, perasaan tidak dapat disemak kembali, tetapi kata-kata yang kita pilih untuk menyatakan pemikiran dan emosi peribadi itu dapat disemak semula. Apabila inspirasi datang, anda bukan sahaja menyambar sehelai kertas yang tedekat dengan anda, namun anda juga menyambar perkataan-perkataan yang paling mudah, perkataan-perkataan yang dapat difikirkan dengan paling cepat. Amatlah merosakkan jika anda berfikir bahawa penulisan mula anda yang kasar itu adalah suci/keramat, kerana biasanya tidak persis atau tidak menggambarkan sepenuhnya makna yang anda rasai atau hajati.

Penyemakan kata-kata yang mula anda tulis semasa mendapat inspirasi mungkin perlu supaya karya anda dapat diberikan gilapan, kedalaman, dan bunyi yang profesional. Perasaan dan niat anda yang sebenar dapat diterangkan dengan menggunakan bahasa yang lebih jelas dan tepat. Imejan (imagery), yang telah dinamai "roh puisi", dapat diterapkan ke dalam karya anda setelah mengambil masa memikirkannya secara lebih mendalam dan melakukan refleksi. Dan oleh sebab ritma dan lirikisme (lyricism) puisi adalah aspek penting seni, bunyi puisi anda dapat diperiksa dan dibaiki dengan memadankan dan menyusun kata-kata yang mewujudkan sesuatu perasaan melalui bunyi khusus (timbre) suku-suku katanya.

Belajar Melalui Contoh

Barangkali cara terbaik untuk menunjukkan "kuasa" penyemakan adalah dengan menunjukkan cara ia dilakukan. Perhatikan baris puisi ini:

"Nyanyian dari burung-burung pada waktu pagi membuat aku mahu terbang bersama-samanya."

Baris puisi ini tentu sekali berusaha untauk menyampaikan idea yang dramatik. Namun kekuatan yang dihajati dilemahkan oleh kata-kata yang tidak dapat mencerminkan keriangan dan inspirasi yang dirasai penulisnya. Pertama, oleh sebab kepadatan dan kepersisan pemilihan kata ialah kunci kepada puisi yang baik, baris ini barangkali terlalu panjang. Penggunaan frasa-frasa "dari burung-burung" dan "pada waktu pagi" dapat dibuang atau ditukar kepada "Nyanyian pagi burung-burung".

Kedua, "bersama-samanya" boleh dibuang kerana kita dapat andaikan bahawa penulis memang hendak terbang dengan siapa lagi kalau bukan burung-burung itu?

Maka inilah penyemakan kita yang pertama, membuang frasa-frasa yang tidak perlu:

"Nyanyian pagi burung-burung membuat aku mahu terbang."

Pertimbangkan pula frasa "membuat aku mahu terbang". Sebenarnya, kata-kata ini ialah intipati puisi ini. Kata-kata inilah yang sepatutnya mengungkapkan dalamnya perasaan yang dirasai penulis daripada nyanyian burung-burung. Kata-kata ini, walau bagaimanapun, tidak dapat menangkap emosi yang begitu mendalam. Barangkali frasa seperti "menggerakkan gunung-gunung di dalam" dapat menggambarkan dengan lebih baik akan perasaan yang mengusik penulis. Imejan yang digunakan di sini dapat membantu menyampaikan keamatan dan magnitud perasaan si penulis. Kata-kata ini juga sedap bunyinya dengan pengulangan volal "u" pada kata "burung" dan "gunung". Semakan seterusnya adalah seperti yang berikut:

"Nyanyian pagi burung-burung menggerakkan gunung-gunung di dalam."

Kini penyemakan hampir lengkap. Buat masa ini, baris ini tidak sebenarnya mengungkapkan hasrat penulis mahu terbang bersama burung-burung. Penyemakan kita sebelum ini membantu menjelaskan emosi penulis yang mendalam tetapi meninggalkan hasrat untuk terbang bersama burung-burung. Oleh sebab waktu yang terlibat ialah pagi, barangkali penulis baharu terjaga kepada nyanyian burung-burung itu, maka frasa "aku bangkit untuk terbang" mungkin sesuai. Kata-kata ini dipenuhi dengan aksi yang melebihi hasrat untuk terbang tinggi bersama burung-burung. Ia mengandaikan penulis boleh terbang walaupun mungkin pada semangat dan bukannya pada realiti. Maka inilah hasil penyemakan ketiga:

"Nyanyian pagi burung-burung menggerakkan gunung-gunung di dalam dan aku bangkit untuk terbang."

Dengan sempurnanya penyemakan, maka mari kita bandingkan dua baris puisi yang tersebut:

"Nyanyian dari burung-burung pada waktu pagi membuat aku mahu terbang bersama-samanya."

"Nyanyian pagi burung-burung menggerakkan gunung-gunung di dalam dan aku bangkit untuk terbang."

Baris asal puisi itu berbunyi seperti suatu pernyataan fakta, sedangkan baris kedua yang telah disemak berbunyi lebih seperti suatu pernyataan perasaan.

Barang kali baris terakhir itu juga dapat ditulis semula jika anda (a) menggunakan konsep cantasan ("nyanyian" kepada "nyanyi"), (b) tidak keberatan menggunakan sedikit klise (beburung dan gegunung), dan (c) memperkenalkan inversi pada ungkapan "aku bangkit" demi menegaskan perbuatan "bangkit" itu:

"Nyanyi pagi beburung menggerakkan gegunung di dalam dan bangkit aku untuk terbang."

Dan dengan enjambemen:

"Nyanyi pagi beburung
menggerakkan gegunung di dalam
dan bangkit aku untuk terbang."

(Diterjemah dan diadaptasi dari artikel "Poetic Metamorphosis: Revising Your Work" oleh Kathy Hoeck, dalam poetry.com).


[Kembali ke Permulaan Lampiran]

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


Lampiran 6. Ayat: Suatu Kursus Asas

L6.1 Definisi Ayat
Ayat = sekumpulan perkataan yang disusun dengan cara tertentu dan membawa makna yang lengkap.

L6.2 Semua ayat paling mudah yang sempurna (dinamai "ayat dasar") dalam apa-apa bahasa sekalipun dapat dibahagikan kepada dua bahagian:
- subjek (S), dan
- predikat (P)
Maka diperoleh formula yang berikut:
Ayat Dasar = S + P
dengan
S = bahagian yang diterangkan
P = bahagian yang menerangkan

L6.3 Komponen Ayat
Dari segi hiraki, analisis tentang "ayat" dapat disenaraikan seperti yang berikut:
-bermula dengan "kata" (atau "perkataan")
-kata membentuk "frasa"
-frasa membentuk "klausa"
-klausa membentuk "ayat"

L6.3.1 Frasa ialah sekumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Frasa boleh juga dibentuk oleh satu perkataan sahaja. Frasa tidak mempunyai subjek dan predikat. Ada empat jenis frasa, seperti yang berikut:
-Frasa nama (FN)
-Frasa kerja (FK)
-Frasa adjektif (FA)
-Fasa sendi nama (FS)

L6.4 Dalam ayat bahasa Melayu, "subjek" dibentuk oleh frasa nama (FN) sementara P dibentuk oleh salah satu daripada yang berikut:
(a) Frasa nama (FN)
(b) Frasa kerja (FK)
(c) Frasa adjektif (FA)
(d) Frasa sendi nama (FS)
Maka ayat dasar dalam bahasa Melayu mengambil salah satu daripada bentuk yang berikut:
(a) FN + FN
(b) FN + FK
(c) FN + FA
(d) FN + FS

L6.5 Bentuk-Bentuk Ayat
Ayat dapat mengambil salah satu daripada bentuk yang berikut:
(a) Ayat tunggal (mengandungi satu subjek dan satu predikat)
Ayat Tunggal = 1S + 1P
(b) Ayat majmuk (mengandungi dua atau lebih ayat tunggal yang digabungkan dengan menggunakan kaedah tertentu)
Ayat Majmuk = Ayat Tunggal 1 + Ayat Tunggal 2 + ...

L6.6 Ayat-ayat yang membentuk puisi dapat terdiri daripada ayat tunggal atau ayat majmuk.
L6.6.1 Contoh ayat tunggal (ayat pertama bagi puisi "Lelaki dengan Tembikai Masak" oleh Irwan Abu Bakar):

Dia lelaki.

L6.6.2 Contoh ayat majmuk (ayat pertama bagi puisi "Marah Lelaki" oleh Irwan Abu Bakar):

Dia lelaki sabar yang lama tidak marah tetapi petang itu menghunus pedang (yang selama ini bersemadi di sarungnya dan dilupakannya) kerana kelelakiannya tercabar oleh emosi wanita yang tidak munasabah, yang menelan semua episod sejarah ria bersama.

(Dia lelaki. Dia sabar. Dia lama tidak marah. Petang itu dia menghunus pedang. Pedang itu selama ini bersemadi di sarungnya. Pedang itu selama ini dilupakannya. Kelelakiannya tercabar oleh emosi wanita. Emosi wanita itu tidak munasabah. Emosi wanita itu menelan semua episod sejarah ria bersama.)

L6.6 Baris-baris puisi tidak semestinya terdiri daripada ayat yang sempurna. Kerap kali ayat yang sempurna dipatahkan untuk membentuk sesuatu baris puisi. Teknik penulisan puisi ini dinamai "enjambemen":

ada suara terbit dari bibir bunga
yang sempat kutangkap

(dari puisi "Di Kedai Bunga" karya T. Alias Taib).

[Kembali ke Permulaan Lampiran]

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 


Lampiran 7. Ulasan Sajak "Menolak Rezeki"
Di sini diperturunkan tiga ulasan yang dibuat oleh tiga penulis yang berlainan terhadap sajak "Menolak Rezeki" karya Irwan Abu Bakar (Dewan Sastera, April 2003). Sajak itu disiarkan di sini sebagai rujukan.

Menolak Rezeki

Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki
sehari dia cuti terbuang selori rezeki, dimakan api atau bumi
pernah di berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik
si cuai yang kaya
tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Hari ini dalam kesibukan kerja biasa
terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing
melihat matanya.

"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya
lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.


7.1 Ulasan Oleh Nakhoda

Prakata
Pertama: saya mengucapkan tahniah kerana puisi Prof. Drirwan (penyair) berjudul 'Menolak Rezeki' tersiar di majalah Dewan Sastera, April 03.
Kedua: ribuan terima kasih kerana memberikan keizinan kepada saya untuk membuat ulasan secara sederhana. Dan ini suatu penghormatan tertinggi buat saya.

Ulasan
Telah saya baca berulangkali puisi 'Menolak Rezeki' ini; 2 kali demi menghayati dan 3 kali untuk memahami. Selepas itu, barulah saya berupaya mendapat semangat untuk memulakan tugasan.

Secara rambang puisi ini menceritakan watak utama seorang 'dia' yang kerjanya saban hari adalah berada di tempat pembuangan sampah. Tidak lain hanya menyelongkar timbunan sampah-sarap; demi mencari benda-benda atau barang-barang buangan yang masih boleh digunapakai, kemudian untuk dijualkan kepada peraih(karung guni). Pernah sekali 'dia' menjumpai
sebungkus wang terbungkus dalam beg plastik yang berkemungkinan telah tercicir atau terbuang oleh seseorang(dikenali sebagai 'si cuai yang kaya). Kemudian, seperti hari-hari biasa juga, 'dia' kembali mencari sesuatu benda yang berharga di tempat pembuangan sampah tersebut. Lalu secara tidak senghaja, 'dia' terjumpa seorang bayi(dalam bungkusan dan bayi itu tersenyum kepada 'dia') tetapi tidak diendahkannya. Kerana 'dia' menganggap bayi itu sukar untuk diniagakan(susah untuk dijual). 'Dia' kemudian kembali meneruskan pencarian(rezekinya) tanpa peduli
atau menghiraukan hal-hal yang lain.

Puisi ini apabila telah kita hayati dan mengerti setiap susuk mahupun teluk, tidak mungkin kita berasa kekok ataupun teruk. Segala-galanya menjadi mudah dan lurus terarah, kerana penyair ini tidak langsung
terkesan menggunakan/menyelitkan sebarang metafora, personifikasi, simile ataupun alusi; kecuali gaya 'Inversi' dan 'Hiperbola' yang mungkin wujud/diwujudkan secara senghaja/tidak senghaja oleh penyair sewaktu garapan dilakukan.

Bukti-bukti kedapatan gaya 'Inversi'(gaya penegasan) adalah melalui petikan-petikan berikut:

1.~Tong sampah besar sebiji....
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini;
'Sebiji tong sampah besar....'
2.~sehari dia cuti....
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini;
'dia cuti sehari....'
3.~pernah dia berjumpa
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini;
'dia pernah berjumpa....'
4.~terjumpa dia bungkusan
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini;
'dia terjumpa bungkusan....'

Alasan terjadinya 'kejadian pembalikan kata-kata' ini boleh diterima-pakai kerana penyair menyenangi 'gaya' sedemikian (mungkin juga hasil pengalaman yang lama dan luas) dan memungkinkan juga timbul situasi
'kepuitisan' bahasanya tatakala dibacakan. Keempat-empat situasi penggunaan gaya "Inversi' itu semata-mata mahu menegaskan/menekankan sesuatu babak peristiwa(termasuk menimbulkan suasana dan latarnya)
yang telah terjadi dengan mendahulukan beberapa kata-kata seperti;
~Tong / ~sehari / ~pernah / ~terjumpa. Tentu ini menimbulkan implikasi yang lebih realisitik kepada kesan bacaan tentunya.

Manakala gaya perbandingan 'Hiperbola'(gantian perkataan asal kepada lain perkataan-menimbulkan gambaran perbandingan yang berlebih-lebihan
daripada biasa) adalah seperti petikan-petikan berikut:

~Tong sampah besar sebiji (dikunjungi)....
~....(terbuang) selori rezeki....
~"Ah, yang ini susah nak jual,"(kuis)....
~lalu ia terusi tugas sehari-hari (mengais)....

Hasrat penyair menggunakan perkataan-perkataan; ~dikunjungi / ~terbuang
/ ~kuis / ~mengais itu jelas menggambarkan beliau mahu membuat secara senghaja suatu 'penekanan' untuk menimbulkan kesan kejadian yang berlaku dalam babak tersebut (menguasai perasaan dan pandangan) dan mahu pembaca turut 'merasa' bersama watak 'dia' yang melakukan setiap aksi(kesan 'virtual reality' juga boleh ditakrifkan di sini) lantas menimbulkan kesan 'kejiwaan' yang mendalam (mungkin hingga menimbulkan rasa jijik/mual/kasihan/simpati/dll) kepada diri pembaca. Hasrat penyair yang semamangnya membawa berkat.

Hasil penggunaan kedua-dua gaya (Inversi dan Hiperbola) tadi, penyair telah dengan senghaja memanipulasikan 'langgam bahasa' secara bijak
lagi kreatif (dialog bercampur naratif) sehinggakan tidak terasa oleh kita bahawa susunan baris-baris puisi ini sebenarnya menyerupai sebuah puisi prosa yang sederhana panjang dan kalau disusun-aturkan semula
akan menjadi sebuah bentuk yang lain (tidak saya bercadang melakukan sebarang perubahan di sini) dan memungkinkan ulasan yang bercorak lain
pula. Penyair peka kepada apa yang beliau karangi dan bentuk itulah yang beliau senangi. Saya akur hal ini.


Ulasan II
Menyentuh pula soal 'bunyi' iaitu mencari keindahan (seni bunyi) yang berupa 'irama dan rima' yang semacam memberikan 'nafas dan nyawa' kepada 'hayat dan usia' sesebuah karya itu agar sentiasa 'segar dan
hidup' setiap kali dibaca. Ternyata puisi 'Menolak Rezeki' ini bernada 'sinis' yang jelas menyangkuti tema 'kemanusiaan' yang mendalam (secara
psikologi). Saya menurunkan beberapa petikan rima yang kedapatan pada puisi ini (lebih merupakan 'aksesori' wajib/penting) seperti di bawah:

1.~....sebij(i) dikunjung(i)....hari(i) mencar(i) rezek(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 5 kali
2.~sehar(i)....cut(i)....selor(i) rezek(i)....ap(i) atau bum(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 5 kali
3.~tapi(i)....kin(i)....in(i)....lag(i)....mimp(i)....har(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 6 kali
4.~Har(i) in(i)....
Pengulangan bunyi vokal "i" sebanyak 2 kali
5.~....beris(i) bay(i)....
Pengulangan vokal "i" sebanyak 2 kali
6.~....terus(i) sehari(i)-har(i)....is(i)....rezek(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 5 kali

Memang puisi ini teramat 'mewah' dengan keindahan bunyi-bunyian rima 'asonansinya' dan kemungkinan rasa jemu membaca dan menghayati puisi
ini berulang-kali amat tipis (puisi ini tidak tawar dan hambar malahan segar). Penyair, saya anggap telah melalui suatu proses 'pencernaan' termasuk 'pemeraman') yang cukup teliti dan rapi serta yakin dengan penghasilan beliau ini. Siratan rima yang sebegini adalah bagaikan anyaman tikar (pandan atau mengkuang) yang diselang-selikan dengan
warna-warni di permukaannya; tentu tampak lebih menarik dan cantik dan terasa selesa pula kalau disinggahi punggung.

Kemudian, saya mencari-cari pula kalau-kalau kedapatan rima 'aliterasi' yang turut mengongsi situasi ini, dan saya terjumpa 'satu'; mungkinkah
ini benar atau samar-samar, tapi saya yakin dan membuat petikannya seperti berikut:

~....bungkusan berisi bayi....

Awalan (bu) / (be) / (ba) itu kalau dibaca akan dapat menimbulkan kesan 'kesedapan' pada rongga mulut(bacaan) dan cuping telinga (pendengaran).
Adakah ini suatu kebetulan atau sememangnya usaha gigih dan kerja keras telah dilakukan oleh penyair dalam menggali 'teras' yang sememangnya
memerlukan keperihatinan yang mendalam. Kelebihan penyair tergambar dari ketelitian beliau memilih dan menyesuaikan 'kata-kata' kepada puisi beliau yang berbentuk begini. Dengan bantuan kreativiti diri yang
terbiasa bermain-main dengan gelombang 'bahasa' segalanya memungkinkan menjadi nyata.

Saya juga membuat beberapa petikan rangkaikata yang saya anggap sebagai rasuk dan sendi kepada keseluruhan binaan puisi ini. Juga ia boleh
dianggap sebagai menarik dan melambangkan ayat-ayat yang cukup matang dan melambangkan kebijaksanaan penyairnya:

~selori rezeki / ~wang selaksa / ~si cuai yang kaya / ~mimpi siang hari
/ ~kesibukan kerja biasa / ~tersengih sumbing / ~terusi tugas /
~mengais isi tong

Manakala saya dapati perkataan 'selaksa' digunakan. Mengapa tidak digunakan perkataan yang lain seperti 'seuncang/sebuntil/sekarung/seguni/dll. Mungkin ini lebih tepat mengikut Kamus Dewan-Ke 3 yang menyatakan 'berpuluh-puluh ribu wang' yang saya rasa lebih menepati pilihan tersebut dan sesuai digunapakai.

Sebegitu perkataan 'terusi' saya mencari dalam Kamus Dewan-Ke 3 tetapi gagal menemukan perkataan 'terusi' yang membawa maksud bersesuaian dalam konteks puisi ini. Perkataan 'terusi' yang saya temui adalah
membawa maksud 'benda asal daripada tembaga dan berwarna kebiru-biruan. Bagaimanapun, saya rasa/fikir penyair menganggap perkataan 'terusi' pilihan beliau itu membawa maksud 'meneruskan' tugas (terusi tugas).
Dimana penyair mahu menyesuaikan bunyi ("i") disepanjang-panjang ayat yang beliau gunakan agar timbul rima bunyi yang setara dan merdu pula
jadinya rangkaikata tersebut. Alasan-alasan ini diperbolehkan mengikut situasi tertentu dan kekecualian diberikan. Dan ini memang sewajarnya
diperbolehkan dalam kedudukan/kebenaran 'poetic licence'.


Ulasan III
Tiba pula kepada sesuatu yang saya anggap sebagai 'hadiah istimewa' kepada para pembaca, iaitu puisi berbentuk naratif ini menghidangkan
kita dengan sebuah dialog, yang begitu ketara dan menonjol sekali. Soalnya, kenapa dan untuk apa diwujudkan 'dialog' ini dan apakah kepentingannya dalam puisi yang sebegini? Bolehkah kalau ditiadakan
atau bagaimana kalau digantikan pula pengkisahan secara naratif, akan adakah penyesuaiannya?

Mari kita menelusuri semula puisi ini dengan memberikan penumpuan utama kepada keupayaan penghayatan kita (mengikut tahap ilmu masing-masing)
dengan lebih peka dan teliti (rangkap demi rangkap-baris demi baris) dan cari jawapannya satu persatu. Lihat perkaitan diantara rangkap satu dengan rangkap dua dengan rangkap tiga; juga setiap baris perkataan
itu juga dikaitkan (bagai gerabak keretapi) disusunatur mengikut kepentingan masing-masing dan memudahkan pula pemahaman kita (tidak sekali-kali menglirukan).

Kemudian cuba baca sekali lagi (rangkap pertama dan kedua....dan terus berhenti) dan rasakan apa yang berlaku? Tentunya kita merasakan sesuatu
'kekurangan' atau bagaikan ada yang tidak beres atau ceteranya seolah-olah 'tergantung' bukan? Iya!, kerana puisi ini secara sulit tetapi jelas mempunyai struktur binaan yang menyerupai anyaman 'Cross Stitch'
yang kait-mengait antara satu sama lain kemudian terserlahlah keindahan dan kemurniaannya setelah dianyam secara keseluruhan. Sudah tentu puisi
ini terbahagi kepada 3 bahagian utama yang terpenting:

1.Rangkap pertama - pembuka cetera (pemula dakian dan isi cetera)
2.Rangkap kedua - klimaks cetera (puncak penceritaan)
3.Rangkap ketiga - anti-klimaks (penurunan menutup penceritaan).

Nah! sudah nyata buktinya, penyair telah membuat 'ikatan-ikatan' sulit tertentu yang dikenali sebagai 'invisible string' yang tidak sekali-
kali memungkinkan struktur puisi ini diasing-asing atau dipecah-pecah lagi demi dikompreskan untuk mendapatkan 'penyejatan' selanjutnya.
Pasti suatu rombakan yang 'menyukarkan' pencernaan semula akan terjadi kalau perkara tadi berlaku. Dan 'dialog'(di rangkap ketiga) itu memang
perlu/wajar/wajib kita baca untuk mendapatkan 'kepuasan' terakhir kepada kesimpulan cetera di rangkap pertama dan kedua. Tetapi 'dialog'
itu sendiri diwujudkan oleh penyair bukan semata-mata secara 'tersurat' malah ada makna tertentu yang 'tersirat' juga, yang perlu kita cari makna dan gali maksudnya yang asli.

Dialog yang berbunyi....

"Ah, yang ini susah nak jual,"....

Apa yang susah mahu dijual itu? Tentulah cukup menarik perhatian kita adalah perkataan 'yang ini' yang secara harfiahnya dimaksudkan kepada
'bayi' yang dijumpai oleh 'dia' itu. Memang pun (kalau kita) memang tidak kita jual, malah kita ambil dan serahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat(lapur polis dulu) dan tidak kita tergamak untuk melakukan
kerja 'berjual-beli manusia' itu(secara normal dan logik akal). Tetapi berlainan pula kepada watak 'dia' yang lebih mementingkan 'perut'nya dan kerjanya biar mudah dan tidak menyusahkan (kemudian hari) dan
tidak tergendala, kerana kerja pantas demi tidak mahu segala rezekinya yang lain itu....'dimakan api atau bumi'. Watak 'dia' lebih menyenangi jumpaannya....'sebuah beg plastik berisi wang selaksa' dan tidak sudah-sudah 'dia' terkenang akan peristiwa itu bagai digambarkan...'peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari'. Jelaslah kepada
kita bahawa kuasa 'wang' lebih kuat kesannya keatas manusia jika dibandingkan dengan 'seorang bayi' yang belum tentu lagi mendatangkan keuntungan secara material, terutama kepada watak 'dia' ini.

Terfikir oleh kita betapa bodoh, dungu, baghalnya watak 'dia' ini atau mungkin kita menuduh pula 'dia' sebagai manusia yang zalim, tidak berperikemanusiaan, mementingkan kebendaan dan ternyata 'dia' itu
telah 'Menolak Rezeki'(judul tepat bagi puisi ini). Dan kalau kita, belainan pula 'sequel' cetera puisi ini. Tetapi itulah, kesan yang sememangnya ingin ditimbulkan secara senghaja oleh penyair; semoga terpercik rasa kemanusiaan dan ehsan dari dalam lubuk jiwa kita,
apabila kita membaca keseluruhan puisi ini dengan jiwa dan akal yang terkawal secara normal. Kalau kesan 'rasa' itu cukup kuat, maka itu petanda kita masih berjiwa manusia dan kita msih beriman dengan Tuhan.

Apakah 'moral cetera' puisi ini atau mungkinkah ada terselit sekelumit apa yang digelarkan 'flasafah hidup' yang diterapkan oleh penyair secara bijaksana di dalam siratan perkataan-perkataan yang mempunyai
kesan perasaan yang tersendiri? Itu saya rasa ada kewajarannya dicari jawapannya oleh para pembaca sendiri (sebagai suatu latihan minda). Agar dapat kita elakkan budaya 'spoon feeding' atau lebih wajar kalau
belajar menghadapi kesukaran 'mencari jarum dalam jerami padi'.


Kesimpulan
Mungkin ada para pengulas dan pengkritik (yang bertauliah) di luar sana atau di komuniti ini tentunya; sdr Has1mah, Zainallasim, Abdullatip atau Gravesdigger dan lain-lainnya yang mempunyai sesuatu 'penemuan'
atau 'pandangan' lain yang mahu dikongsisama dijadikan 'ilmu tambahan' maka saya cukup mengalu-alukan.

Kepada penyair (Prof Drirwan) memang saya cukup memahami corak dan gaya garapan, kerana kedudukan penyair sebagai seorang ilmuwan (juga wibawa
pengalaman-pengalaman belaiau) itu telah memberikan jaminan bahawa puisi ini dapat dipertanggungjawabkan sepenuhnya dari sebarang sudut; ekstrinsik mahupun intrinsiknya. Kalau pun ada 'ruang lompang' yang
kurang atau kekhilafan ditemui, anggaplah saya masih 'mentah' dan masih dalam peringkat pembelajaran meningkatkan tahap ilmu diri. Bagai ada
perumpamaan menyebut, "kalau daging yang kita makan, tulangnya pun memadai kita sedekahkan kepada jiran"....maaf!

Pemarkahan: 5*****

7.2 Ulasan Oleh Abdul Latip

Saya belum dapat memiliki majalah Dewan Sastera April 2003 tapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada drirwan kerana puisi berjudul “Menolak Rezeki” hasil karya beliau tersiar di majalah tersebut.

Mungkin ramai yang telah membaca ulasan oleh sdr nakhoda pada sajak tersebut di komuniti ini dan saya rasa ulasan itu amat menarik kerana itu bukanlah maksud saya hendak menyainginya. Cuma apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah terdapat kelainan pada tafsiran makna disebalik apa yang tersurat dari yang tersirat.

E.D HIRSCH mengatakan bahawa makna karya ialah makna penghasilnya. Pembaca memperoleh signifikan karya setelah akal fikiran melakukan kerja mentafsirkannya.

A BAKAR HAMID pula mengatakan bahawa seseorang pengulas atau pengkritik mentafsirkan karya “saudaranya” dengan apa yang ada dalam karya. Oleh itu pernah berlaku penyair atau sasterawan mengagumi tafsiran yang dibuat oleh pengkritik atau pengulas kerana makna yang dikemukakan tidak terfikir oleh penyair ketika karya itu dihasilkan. Dalam keadaan ini pengulas atau pengkritik sebenarnya melakukan dua kerja serentak iaitu mengeluarkan makna yang ada dalam karya dan juga memberikan makna kepada karya tersebut.

Kali pertama membaca puisi “Menolak Rezeki” dari ulasan Nakhoda, saya nampak hanya yang lahir sahaja. Tetapi setelah membacanya berulang-kali barulah kita dapat merasakan ada sesuatu “kelainan” kerana itulah saya ingin berkongsi pendapat.

Dalam puisi “ Menolak Rezeki” ada tiga perlambangan yang perlu kita fikirkan maknanya; pertama “Tong Sampah Besar Sebiji” kedua “Dia” pencari rezeki dan ketiga “Bayi Yang Tersengeh Sumbing”

Secara zahirnya puisi ini mengisahkan seorang pengutip sampah (dia) mencari rezeki dengan menyelongkar barang-barang terbuang yang terdapat dalam tong sampah. Kerja seperti ini biasa kita lihat dimana-mana, cuma kebiasaanya orang kurang siuman sahaja yang menyelongkar tong sampah tetapi orang yang agak waras lebih suka mencari rezeki di tempat pembuangan sampah. (tempat terbuka)

Saban hari “dia pencari rezeki” akan menyelongkar tong sampah untuk mencari sesuatu yang boleh dijual. Walaupun kerja itu agak menjijikkan namun tidak menyalahi undang-undang dan tidak siapa boleh menghalang. Kabarnya ada yang bernasib baik mendapat barang berharga yang dibuang oleh orang kaya yang cuai. Tetapi “dia” dikatakan menolak rezeki kerana tidak menghiraukan bayi yang dijumpainya dalam tong sampah kerana menganggap bayi itu “susah nak dijual.”

Maka disinilah timbulnya istilah menolak rezeki kerana kalau bayi itu dibawa pulang ke rumah, dibuat lapuran polis dan dibuat permohonan sebagai anak angkat, atau dijual kepada mereka yang memerlukan maka akan timbuil pula istilah “mendapat rezeki.”.
.
Persoalannya, kalau tin buruk, botol kosong, besi buruk dan surat kabar lama boleh dijual oleh pengutip sampah, kenapa tidak dengan bayi?. Kecuali kalau bayi itu sudah mati, tetapi bayi dalam puisi ini masih hidup kerana tersengeh sumbing semasa dijumpai. Maka di sinilah kita berpendapat ada makna yang tersurat di sebalik yang tersirat.

Cuba kita perhatikan kata-kata dipermulaan puisi tersebut;

Tong sampah besar sebiji
dikunjungi setiap hari
mencari rezeki

Makna “Tong sampah besar sebiji” itu bukanlah tong sampah dalam arti kata yang sebenar kerana kalau tong sampah sebenar, ayatnya “Sebiji Tong Sampah Yang Besar”. Tetapi bila disebut “Tong Sampah Besar Sebiji” boleh membawa maksud sebuah parti politik yang berpengaruh di negara kita. (maaf kerana saya tak sebut nama)

Mungkin ada yang mengatakan itu sekadar permainan kata-kata penyair, tapi bagi saya ayat itu boleh diartikan sebagai ada makna disebaliknya. Mungkin juga nanti drirwan akan kata maksud sebenarnya memang ‘Tong Sampah’ dan puisi ini tidak ada kaitan dengan politik. Tetapi sebagai pembaca yang ingin memahami makna disebalik kata-kata itu tidak salah kan kalau saya mentafsirkannya begitu. Mungkin juga nanti akan ada yang menuduh saya sengaja mempolitikkan sajak “ Menolak Rezeki”. Walau apapun saya akan terima kerana itulah perspektif saya dalam usaha mencari kelainannya.

Pencari rezeki (dia) yang dimaksudkan dalam puisi ini pula ialah seorang ahli politik yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri. Manakala bayi yang dijumpai itu ialah anak bangsa sendiri yang naif terbiar mengharapkan pembelaan namun tidak dipedulikan kerana sang politik sentiasa sebuk dan lebih mengutamakan kepentingan sendiri.

Seperti mana yang kita maklum, sekarang ini ramai yang masuk politik dengan berbagai tujuan atau matlamat. Ada yang menceburkan diri di gelanggang politik untuk mendapatkan kuasa dan harta. Ada pula masuk politik kerana marahkan seseorang atau membela “heronya” yang dirasakan dizalimi. Malah ada juga yang menjadikan agama sebagai cara untuk meraih sokongan. Tetapi di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, perkara ini jarang berlaku. Ahli politik berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Contohnya, ketika orang-orang Melayu tidak mempunyai tanah maka dibuka tanah rancangan FELDA, FELCRA dan sebagainya. Ketika orang-orang Melayu tidak mendapat pendidikan tinggi maka di wujudkan Universiti-Universiti dan anak-anak Melayu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Ketika orang-orang Melayu lemah di bidang ekonomi maka di wujudkan DASAR EKONOMI BARU, ditubuhkan MARA dan sebagainya..

Tetapi apabila masa berubah maka perjuangan politik juga turut berubah. Kalau dulu mereka berjuang semata-mata untuk bangsa, agama dan tanah air tetapi sekarang ada diantara mereka hanya memperjuangkan nasib sendiri. Ibarat pengutip sampah seperti yang digambarkan dalam puisi itu, lebih mementingkan duit dari nyawa seorang bayi.. Jika pengutip sampah menjadian tong sampah sebagai sumber rezekinya maka ahli politik menjadikan partinya sebagai landasan untuk mengubah taraf hidupnya. Namun kita akui tidak semua ahli politik begitu kerana masih ada yang ikhlas berjuang demi untuk bangsa agama dan tanah air. Ahli politik seperti itu akan disanjung semasa hidupnya dan akan dikenang budinya setelah kematiannya.
.

Sehari dia cuti
terbuang selori rezeki,
dimakan api atau bumi

Bagi ahli politik yang tamakkan harta dan kuasa, tidak ada istilah cuti dalam kerjayanya. Dia sanggup bekerja siang dan malam. Setiap saat baginya amat berharga dan tidak mahu rezeki terlepas ke tangan orang lain ketika dia bercuti. Yang dimaksudkan dengan dimakan api atau bumi itu ialah dia takut rezekinya akan dirampas oleh pihak lawan atau saingannya dalam parti semasa dia bercuti. Atau boleh juga dikatakan, kalau dia melepaskan peluang nescaya orang lain akan merebutnya.

pernah dia berjumpa
sebuah beg plastik berisi wang selaksa
milik si cuai yang kaya

Mengikut apa yang tertulis ialah “ berjumpa” bukan “terjumpa”. Ayat berjumpa dengan terjumpa ada kelainan maknanya. Dalam puisi tersebut, dia (pencari rezeki) berjumpa sebuah “beg plastik berisi wang”. Ini bermakna beg plastik berisi wang itu bukanlah beg plastik dalam arti kata yang sebenarnya. Ia boleh diistilahkan sebagai “orang kaya” yang dijumpainya setelah mendapat tempat dalam parti. Dia tertarik berjuang dalam politik bila melihat kawan-kawannya menjadi kaya raya setelah aktiv dalam politik kerana mendapat “tongkat” dari mereka yang berkuasa. Dia juga berharap akan beroleh laba seperti kawannya..

tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Namun impian itu hanya tinggal impian ibarat mimpi di siang hari kerana harapannya untuk mendapat yang bulat datang menggolek atau yang pipih datang melayang, masih belum menjadi kenyataan. Namun dia masih tidak putus ada dan terus berusaha.

Hari ini dalam kesibukan kerja biasa
terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing
melihat matanya.

Politikus yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan yang pastinya mendatangkan “laba”. Dia lupa diri dan mabuk dengan kuasa dan kekayaannya. Akibatnya dia tidak menghiraukan nasib anak bangsanya yang mengharaapkan bantuan dan pembelaan. Paling malang bila ada rakyat marhain yang ingin meminta pertolongan dianggap hanya membuang masa dan tidak membawa keuntungan kepada dirinya.

Terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing

Dalam ayat ini perkataan yang digunakan ialah “Terjumpa” berbanding dipermulaan tadi “Berjumpa”. Bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing itu boleh membawa makna, anak bangsanya yang terbuang, terbiar, tidak dipedulikan. “Dia” dimaklumkan perkara itu namun hatinya merasa meluat melihat muka anak bangsanya yang serba kekurangan.

Pada kebiasaannya, wajah seorang bayi amat menawan. Mukanya jernih matanya bercahaya tanpa sedikit pun dosa. Tetapi apa yang dilihat oleh pencari sampah itu ialah muka bayi yang “Tersengeh Sumbing” menyakitkan mata memandang.

Kalau diibaratkan seorang pemimpin atau ahli politik, dia pasti merasa belas kasihan jika melihat anak bangsanya dalam keadaan lemah, miskin, mundur dan tidak berilmu pengetahuan. Sepatutnya dia membela anak bangsanya, bukan mencaci dan menghina ….opss.

"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya
lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.

Di sinilah letaknya keindahan puisi ini. Sesuai dengan tajuknya “Menolak Rezeki”, rezeki yang berharga itu hanya dikuisnya degan tangan kiri. Tangan kiri mempunyai perlambangan tertentu kerana tugasnya juga hanya untuk yang tertentu pula. Sebab itulah dikatakan kurang sopan kalau bersalam atau mengambil barang pemberian menggunakan tangan kiri.

Kalau seorang pemimpin mengambil berat nasib anak bangsanya, maka keuntungannya bukan sahaja oleh anak bangsanya tetapi juga terhadap dirinya juga kerana dia akan terus disanjung sehingga ke akhir hayat. Sebaliknya jika dia hanya asyik mementingkan perut sendiri akhirnya dia akan ditolak.. Maka di sini letaknya kewajaran istilah “Menolak Rezeki”.

Persoalannya, adakah wajar parti politik yang pernah berjasa suatu ketika dulu kini hanya diibaratkan sebagai “Tong Sampah?”. Adakah wajar semua ahli politik dianggap seperti pengutip sampah di tong sampah?.

Walaupun begitu saya harap ulasan ini tidak menyinggung mana-mana pihak terutama keluarga ahli politik. Anggaaplah ini cuma tanggapan seorang pembaca setelah meneliti puisi karya Drirwan yang berjudul “ “Menolak Rezeki”. .

Saya tidak akan menyentuh seni bunyi (pengulangan vokal), Inversi dan Hiperbola kerana telah disentuh dengan jelas oleh saudara nakhoda dalam ulasannya. Saya rasa dia lebih arif lagi dalam hal ini.

Kesimpulan

Puisi “Menolak Rezeki” memang menarik untuk diperkatakan dan tafsirannya terpulang kepada kita sendiri. Mungkin benarlah seperti kata tokoh saterawan tanah air kita yang mengatakan “ kekadang makna yang dikemukakan oleh pengulas tidak terfikir ketika karya berkenaan dihasilkan.” Akhir kata yang baik itu datangnya dari Allah SWT tapi yang silap itu daripada diri saya sendiri. Wassalam.

Pemarkahan: 5 *****

7.3 Ulasan Oleh Gravesdigger (Hata Ghazali)

SAJAK ini menggambarkan pemerhatian seorang pengkritik sosial yang hebat . Sememangnya seorang ahli sains biologi mempunyai taraf pemerhatian yang jitu. Sesungguhnya seorang jurutera sentiasa mempunyai citarasa rekacipta / rekabentuk yang mengkagumkan (saudara mshukrinasiar mesti setuju dengan pernyataan ini).

Perlambangan tong sampah adalah satu perlambangan yang jijik dan meloyakan tekak dan biasanya dengan pemandangan yang amat menyakitkan mata .

Pandangan “visual” sangat penting untuk melihat keindahan sajak ini. TONG SAMPAH BESAR itu mewakili sebuah komplek pelacuran , kawasan pelacuran ataupun komplek perjudian ataupun untuk nilai “ universal “ atau “world view” nya mungkin seluruh penghuni dunia ini dan isi-isinya sekarang yang banyak yang bobrok kucar-kacir dan berkiblatkan harta-benda ( kalau di Kuala Lumpur semua orang tahu dimana terletaknya kawasan “ sampah “ tersebut ) . Tong sampah yang besar itu mengumpulkan pelbagai jenis kelas masyarakat. Ada yang menjadi pelacur = sampah ; ada yang menjadi penagih dadah = sampah ; ada yang menjadi gangster = sampah ; penipu = sampah ; pemeras ugut = sampah ; pondan / bapok / bohjan / bohsia untuk mencari kepuasan seks = sampah; penjudi = sampah masyarakat dan pelbagai lapisan sampah lagi golongan masyarakat sampah.

Ada golongan yang kononnya tinggi tarafnya dalam masyarakat mengunjungi kawasan ini kononnya untuk membuang / membersihkan sampah atau terus lekat menjadi sebahagian sampah. Kalau seseorang yang berjawatan tinggi dalam masyarakat kerap mengunjungi tempat yang memang terkenal dengan sampah itu , maka kesimpulan mudah dapat dibuat iaitu untuk membeli dadah atau di situ ada sumber rezekinya yang lain – memperolehi rezeki melalui duit lendir atau lain-lain kegiatan haram.

Mungkin tafsiran sampah mesti dihalusi lagi. Sampah bagi “A” , mungkin barang berharga bagi ” B” ; sampah bagi “C” mungkin sebuah syurga bagi “D”. Sukar juga hendak memberi tafsiran yang tepat untuk makna sampah ini.

Sajak ini terdedah kepada tafsiran makro dan mikro. Saya tumpukan kepada tafsiran mikro untuk mengeluarkan maknanya mengikut perspektif saya.

Asal usul insan dalam sajak ini adalah seorang pelacur “ High Class “ . Ini di gambarkan oleh bait-bait berikut : Pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Tapi mungkin dia seorang yang bodoh , maka beliau tidak mengambil peluang mengikis harta si kaya tersebut dan apabila madunya / manisnya hilang dan sudah basi , beliau telah menjadi insan terbuang ke kawasan pelacuran bertaraf rendah yang terpaksa melakukan pekerjaan jijik tersebut kerana apabila cuti atau berehat maka banyak wang akan terlepas begitu saja. Melacur sajalah sumber rezekinya. Dimakan api atau bumi mungkin perlambangan masa atau waktu( mungkin waktu datang kotor / sakit tak mampu melacur ).

Sebagai makhluk sosial , maka pelacur juga mempunyai kawan yang senasib dengan mereka. Mungkin ada di antara mereka telah melahirkan anak haram hasil kegiatan mereka yang mencari rezeki secara haram tersebut. Anak bermakna rezeki tambah-tambah lagi kalau comel dan cantik tapi kawannya melahirkan anak haram yang sumbing , maka siapakah yang sudi mengambil bayi itu sebagai anak angkat ? Apakah nasib bayi ( rezeki ) tersebut mungkin dapat dibayangkan oleh para pembaca sendiri. Nasib baik di tinggalkan di surau , di gereja , di tokong atau mana-mana tempat dan dibela oleh manusia yang budiman. Jika tidak nasib bayi tersebut akan berada dalam TONG SAMPAH YANG SEBENAR.

Seandainya bayi itu sempurna dan comel , pengulas pasti itu memang menjadi rezeki kerana bayi itu pasti akan dijual kepada pihak tertentu untuk memperolehi wang yang banyak tapi sayang insan tersebut terpaksa “ menolak rezeki “ kerana cacat dan tidak berharga di pasaran. Kalau bayi itu hasil dari perkahwinan yang sah , tiada manusia yang tergamak menolak rezeki tersebut walaupun cacat , buta , sumbing , bisu , lahir tidak cukup bulan ,pekak , down sindrom , hidung kemek dan sebagainya.

Kesimpulannya : Puisi membawa tema kehidupan / pengalaman peribadi dan juga universal. Sifat puisi khasnya dan kesusasteraan amnya adalah begitu peribadi dan universal. Sesebuah puisi akan dianggap berjaya jika masalah peribadi dan universal itu dijalin dengan teknik bahasa yang berseni ( Panel Hakim – Lelaki Dan Sebilah Pedang Tajam – Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000)

Itulah makna – MENOLAK REZEKI tersebut. Mungkin sajak ini akan termasuk dalam senarai pendek dan ada harapan menang Hadiah Utama Sastera Perdana Malaysia. Insya-Allah.

Markah : 4.9


[Kembali ke Permulaan Lampiran]

[Kembali ke Permulaan Artikel]
[Kembali ke Indeks]
[Kembali ke Senarai Kandungan]
[Kembali ke permulaan "D: Garis Panduan dan Tips"]

 

TAMAT

wab/05102002.